Ahad, 29 March 2015 | 6:55pm

Penghasilan bakat cemerlang di IPT

PUTRAJAYA: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), mampu menjadi pencetus kepada penghasilan lebih ramai bakat cemerlang di negara ini yang boleh memberi sumbangan kepada industri serta komuniti.

Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kementerian Pendidikan, Prof Dr Raha Abdul Karim, berkata PPPM (PT) juga diharap berupaya melonjakkan pendidik, penyelidik mahupun IPT di negara ini sebagai penanda aras kepada negara luar dalam penghasilan bakat cemerlang.

"Bakat cemerlang ialah Lonjakan Kedua yang sangat penting dalam PPPM (PT) yang juga kesinambungan lonjakan pertama iaitu melahirkan graduan bersifat holistik, berminda keusahawanan serta seimbang.

Bangun bakat pendidik

"Tumpuan dalam lonjakan ini lebih kepada ahli sarjana dan akademik serta pensyarah di IPT yang mana kita melihat kepada bagaimana membina dan membangunkan bakat-bakat cemerlang ini menjadi pendidik yang berinspirasi, penyelidik yang terbilang dan pemimpin yang bertransformasi.

"Kita juga akan melihat bagaimana bakat cemerlang ini relevan, menjadi rujukan dan dihormati masyarakat tempatan dan antarabangsa termasuk pihak industri selain turut mendapat sokongan pegawai pentadbir," katanya.

PPPM (PT) dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 April ini.

Raha berkata, bagi membangunkan bakat cemerlang, kementerian mempunyai strategi dan inisiatif berdasarkan lima prinsip.

"Prinsip pertama ialah keupayaan untuk menarik, memupuk dan mengekalkan bakat. Seterusnya pengiktirafan kepada kepelbagaian bakat, contohnya selain sebagai pensyarah, dia juga mampu buat penyelidikan dan boleh jadi pemimpin.

"IPT juga perlu mempunyai bakat yang relevan, dihormati dan dirujuk selain mempunyai ekosistem yang kondusif yang mana IPT menyokong bakat ini dengan cara memberi laluan kerjaya yang pelbagai.

Tambah beliau, bakat cemerlang yang dihasilkan tidak seharusnya menjadi sarjana ilmu di IPT sahaja sebaliknya mampu menjadi penyelesai masalah dengan berinteraksi dengan pihak industri serta komuniti.

"Kita mahu bakat ini keluar dan jadi penyelesai masalah, kita mahu penyelidik ini keluar ke industri sama ada untuk tempoh enam bulan atau setahun mahu pun pergi ke universiti luar negara dan buat penyelidikan yang lebih hebat dan kemudian balik ke Malaysia supaya lebih cemerlang," katanya.

Negara luar jadi contoh

"Kita juga boleh membawa pemikir ulung dari industri ke universiti sama ada menjadi pensyarah jemputan supaya mereka boleh berkongsi pengalaman dengan pelajar dan pensyarah sedia ada sekali gus membantu memupuk serta menonjolkan lagi kecemerlangan bakat," katanya.

Beliau berkata, bagi melonjakkan lagi kecemerlangan bakat menerusi PPPM (PT), negara ini juga boleh mengambil contoh amalan atau kaedah digunakan negara luar seperti Jepun, United Kingdom atau Singapura.

"Amalan terbaik dilaksanakan negara terbabit dalam penghasilan bakat cemerlang boleh kita contohi kerana percaya kita mempunyai bakat cemerlang di Malaysia dan mahu mereka ini terus digilap supaya lebih cemerlang," katanya.

Berita Harian X