Ahad, 29 March 2015 | 8:53pm

Jangan pandang rendah kuasa beli pengguna

KUALA LUMPUR: Peniaga tidak harus memandang rendah kuasa beli pengguna dengan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah dan kemudian menyalahkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Hakikatnya, pasaran kini berdaya saing tinggi kerana peserta tempatan dan serantau yang kukuh kedudukannya sedang memasuki pasaran dengan produk berkualiti, sekali gus menawarkan pilihan lebih luas kepada pengguna.

Contoh jelas ialah segmen kopi.

Beberapa tahun lalu, pilihan adalah terhad kepada Nescafe keluaran Nestle, namun kini rak untuk kopi dipenuhi oleh lebih 30 jenama.

Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Bhd, Alois Hofbauer berkata pengguna tidak harus terlalu bimbang dengan pelaksanaan GST kerana peruncit akan mengambil kesempatan daripada kebimbangan itu.

"Bagaimanapun, tidak ada peruncit atau pengeluar yang akan menaikkan harga produk mereka lebih tinggi daripada pasaran kerana mereka tahu pengguna akan beralih kepada alternatif yang lebih murah," katanya.

Bagi membuktikan kata-kata mereka, Nestle antara syarikat terawal di sini yang mengambil langkah proaktif menawarkan pengurangan harga antara lapan hingga 33 peratus kepada pengguna menerusi kempen promosi 'Lebih Nilai, Lagi Hebat', bulan lalu.

Bagaimanapun, Hofbauer berkata adalah amat penting bagi sebarang penjimatan daripada pengurangan harga itu dipindahkan kepada peruncit berikutan Nestle tidak menjual produknya secara langsung kepada pengguna.

"Pada akhirnya, peruncit yang akan menentukan harga kepada pengguna," katanya.

Sebenarnya Malaysia agak lambat dalam melaksanakan GST kerana negara lain sudah melaksanakannya pada 1990-an, namun tidak ada negara lain di dunia ini yang menguatkuasakan GST seperti yang dirancang oleh Malaysia dengan senarai bekalan berkadar sifar dan dikecualikan yang panjang.

Di luar negara, GST atau cukai tambah nilai (VAT) berjaya meningkatkan pendapatan kerajaan majoriti negara yang melaksanakannya.

Malah, ia adalah antara cukai paling berjaya di United Kingdom hinggakan tidak banyak yang membantah apabila kadar VAT dinaikkan kepada 20 peratus pada Januari 2011 daripada 17.5 peratus sebelum ini, berbanding cukai-cukai lain. - BERNAMA

Berita Harian X