Isnin, 30 March 2015 | 11:42am

Jamal tak cukup tidur gara-gara persembahan 'maraton'

BIAR terganggu dengan keadaan kesihatan yang tidak terduga pada hari kedua persembahan di Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Datuk Jamal tetap cemerlang menghiburkan peminatnya. -Foto ihsan Dewan Filharmonik Petronas

KUALA LUMPUR: Biar terganggu dengan keadaan kesihatan yang tidak terduga pada hari kedua persembahan di Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Datuk Jamal Abdillah tetap cemerlang menghiburkan peminatnya.

Bahkan penyanyi yang terkenal dengan keampuhan vokal merdunya itu langsung tidak terkesan dengan keadaan suaranya yang terganggu bagi persembahan 'maratonnya' itu.

Penyanyi dengan jolokan Raja Pop Melayu yang pernah membintangi filem Azura itu terus unggul di liganya yang tersendiri.

Peluang beraksi di pentas berprestij itu buat pertama kali selepas 36 tahun berkecimpung sebagai anak seni ternyata tidak dipersiakan Jamal. Jamal membuat persembahan di DFP selama dua hari dari 28 hingga 29 Mac lalu.

Aura Jamal masih tiada tolok bandingnya. Malah, bapa kepada dua anak bernama Osama dan Zaki itu kini dilihat sudah pandai berjenaka dengan penonton. Sesekali usikannya disambut dengan hilai tawa penonton.

Dua hari menyanyi di DFP, tiket dijual laris bagai pisang panas.

Jamal juga tak mampu membendung air mata dari terus mengalir ketika menyanyikan lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang.

Saat diaju kenapa emosinya terganggu ketika itu, ia bagaimanapun tiada kaitan dengan kisah peribadinya.

Pintas Jamal, beliau sebak kerana mengenangkan arwah bapanya. Di atas pentas, Jamal juga tak henti-henti berselang meminum air kerana suaranya kian serak.

"Nampaknya perut saya boleh kembung jadinya sebab terlalu banyak minum air," selorohnya kepada penonton yang hadir.

Jamal memberitahu, beliau bersyukur dan berbangga kerana diberi kesempatan berharga menjejak DFP.

"Terima kasih kerana mengundang saya membuat persembahan di sini. Nak jemput saya lagi selepas ini silakan. Cuma apakan daya, kesihatan pula terganggu. Tapi demi peminat saya gagahkan juga memberikan sebaik mungkin

"Saya sihat sebenarnya cuma kotak suara saya bermasalah sedikit. Barangkali juga saya tertekan dan terlalu fikir sangat sampai tak cukup tidur. Natijahnya suara saya terganggu," kata Jamal sambil tersenyum.

Dalam perkembangan lain, Jamal akan ke Singapura Mei depan kerana terbabit dengan persembahan di sana. Jamal juga bulan depan akan terbabit dengan persembahan Minggu Setiausaha di Seremban.

"Saya juga dalam perancangan mengeluarkan 'single' bersama Osama. Kami akan menyanyikan semula lagu lama saya," kata Jamal sambil memberitahu Osama cukup menggemari lagu dendangannya seperti Derita Cinta dan Hingga Tiba Saat Itu.

Selama dua jam beraksi di DFP, Jamal mendendangkan lagu hits antaranya, Aku Penghibur, Kau Lupa Janji, Di Sudut Kamar Hatiku, Ghazal Untuk Rabiah, Samrah Mentari, Terharu, Azura, Derita Cinta, Gadis Melayu, Senandung Semalam, Seniman Menangis dan Penghujung Rindu.

MPO pula dipimpin oleh Konduktor Residen Ciaran McAuley.

Persembahan ini adalah di bawah siri 'DFP Presents'. DFP boleh memuatkan seramai 920 penonton dalam satu masa, dan mempunyai reka bentuk dan akustik yang mengagumkan.

Berita Harian X