Isnin, 30 March 2015 | 8:32pm

Peserta industri minyak, gas perlu bijak urus kos - PETRONAS

KUALA LUMPUR: Antara isu utama yang perlu diberi perhatian peserta industri minyak dan gas dalam persekitaran harga rendah semasa adalah menguruskan kos, kata Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Hiliran PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau berkata, dalam persekitaran semasa adalah diharapkan peserta industri di sepanjang rantaian nilai akan menghasilkan penyelesaian baharu dengan memanfaatkan kepakaran, pengetahuan serta pengalaman satu sama lain.

"Ini bagi mengawal realiti baharu pasaran, khususnya dalam menambah baik kecekapan operasi dan kos," katanya berucap melancarkan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC) 2016 di sini hari ini.

OTC Asia 2016, persidangan industri minyak dan gas dwi tahunan antarabangsa akan diadakan di ibu negara pada 22 hingga 25 Mac tahun depan.

OTC Asia 2016 dijangka disertai profesional dari lebih 80 negara serta 250 syarikat yang akan mempamerkan teknologi terbaharu dan kepakaran masing-masing. Ia juga akan mengumpulkan 650 kertas teknikal merangkumi 85 sesi.

Dalam pada itu, Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS akan memantau rapi perkembangan ekonomi global, dinamik bekalan dan permintaan serta risiko geopolitik yang menjadi bertambah penting kepada keputusan perniagaannya sejak bulan lalu.

Pada masa sama, katanya, tumpuan yang lebih juga diberikan kepada beberapa bidang yang boleh dikawal firma minyak dan gas nasional itu termasuk kos operasi, keselamatan dan kecemerlangan operasi.

Walaupun persekitaran semakin mencabar, dalam jangka panjang, asas di Asia kekal mantap dan teguh.

Katanya, adalah dianggarkan menjelang 2030, Asia akan menjadi rumah kepada tiga bilion penduduk berpendapatan pertengahan, 10 kali lebih ramai berbanding Amerika Utara dan lima kali ganda berbanding Eropah.

"Yang jelas, potensi bagi Asia menjadi enjin pertumbuhan dalam industri minyak dan gas adalah sangat menggalakkan," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X