Selasa, 31 March 2015 | 1:59pm
P Kamalanathan mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Reka Group, A Devasagayam (tiga dari kiri) mengenai reka bentuk plan sekolah SJKT Ladang Shanghai, Seremban pada Majlis pecah tanah turut hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid (kanan). - Foto Hazreen Mohamad

Semua 39 projek di SJKT dijangka siap hujung 2016

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan optimis semua 39 projek pembinaan bangunan baharu dan bangunan tambahan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini akan siap pada penghujung tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, berkata semua projek berkenaan adalah di bawah Pakej Rancangan Khas 2012 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM216 juta.

"Sebanyak 37 sekolah telah diberikan surat setuju terima untuk memulakan projek bagi pembinaan bangunan baharu dan bangunan tambahan yang akan dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur terkini.

"Dua sekolah lagi di Melaka masih menunggu keputusan Kementerian Kewangan untuk diberikan surat setuju terima," katanya demikian selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru SJKT Ladang Shanghai di Mambau dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai projek menaik taraf SJKT Ladang Shanghai, beliau berkata sebanyak RM4.9 juta diperuntukkan untuk membina bangunan tambahan itu dan apabila siap kelak ia dijangka dapat memuatkan 300 pelajar.

- BERNAMA

Berita Harian X