Khamis, 4 September 2014 | 4:41pm
Ishira (kiri) bersama Ketua Jurutera Trak Tugas Berat Isuzu Motors Ltd, Haruyuki Hosoya dan Ketua Jurutera Trak Tugas Sederhana, Isuzu Motors Ltd, Ken Ueda (kanan). - Foto Isuzu Malaysia

Isuzu Malaysia perkenal trak tugas berat GIGA

KUALA LUMPUR: Isuzu Malaysia menawarkan rangkaian trak yang lengkap menerusi pelancaran trak tugas berat dan pengangkutan utama, Isuzu GIGA.

Syarikat itu turut menambah rangkaian trak FORWARD menerusi dua varian iaitu GVW 11 tan dan GVW 16 tan.

Pengarah merangkap Pengurus Besar Kanan Isuzu Malaysia, Katsuro Ishihara, berkata menerusi pelancaran itu, syarikat kini menawarkan pengendali perniagaan di Malaysia rangkaian trak berkualiti tinggi dalam semua segmen.

"Bermula dengan siri trak tugas ringan Isuzu ELF kepada siri trak tugas sederhana Isuzu FORWARD dan sekarang siri trak tugas berat Isuzu GIGA," katanya pada pelancaran trak Isuzu GIGA di sini hari ini.

Ishihara berkata, di Malaysia Isuzu menjadi jenama trak paling laris dalam segmen trak tugas ringan untuk empat tahun berturut-turut.

Isuzu GIGA didatangkan dalam dua varian dalam segmen trak pengangkutan utama iaitu 18 tan Isuzu GIGA PRIME dengan rangkaian kuasa 4x2 serta trak 23 tan bersama rangkaian kuasa 6x4.

Dikuasakan enjin enam silinder 6UZ1-TCC dengan pengecas turbo dan intercooler, Isuzu GIGA menawarkan prestasi mengangkut beban yang mengagumkan melalui kuasa mencecah 360PS dan tork setinggi 1,422Nm.

Bagi menawarkan penyelesaian untuk memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai, Isuzu Malaysia memperkenalkan varian tambahan dalam siri trak Isuzu FORWARD.

Bermula dengan Isuzu FSR PRO, trak kabin kompak GVW 11 tan ini mengisi ruang di antara siri trak tugas sederhana Isuzu ELF apabila ia berupaya menawarkan kapasiti tan lebih besar untuk tujuan pengangkutan di bandar. Malah, ia menggunakan enjin 4 silinder bagi menjadikannya tidak terlalu besar dan lebih efisien untuk dipandu di bandar.

Berita Harian X