Khamis, 4 September 2014 | 6:29pm
PENGARAH Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Ibrahim (dua dari kiri). - Foto Asman Ibrahim.

BDB labur RM202 juta beli 467 hektar tanah PKNK

Simpanan tanah BDB meningkat kepada 809 hektar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB), syarikat hartanah berpangkalan di Kedah membeli tanah seluas 467 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada pertimbangan RM202 juta.

Pengarah Urusan, Datuk Izham Yusoff, berkata pengambilalihan itu membolehkan BDB menambah simpanan tanah dan memberi peluang kepada syarikat mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama pembangunan hartanah di Kedah.

"Menerusi pengambilalihan itu, kawasan simpanan tanah BDB di Kedah meningkat kepada lebih daripada 809 hektar," katanya selepas memeterai perjanjian jual beli tanah berkenaan di pejabat BDB di Menara Glomac, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Izham berkata, menerusi pembelian itu, BDB mempunyai lebih banyak pilihan untuk meneroka serta mencari penyelesaian baharu dalam sektor hartanah selain merancang lebih banyak pembangunan bercampur yang lebih fleksibel, kreatif termasuk di kawasan perbandaran.

Katanya, BDB yakin permintaan kediaman di Kedah adalah tinggi terutama daripada kalangan pembeli tempatan, justeru syarikat akan memanfaatkan peluang itu untuk menawarkan hartanah pada harga berpatutan.

"BDB akan menjalankan kaji selidik pasaran sebelum memuktamadkan pelan pembangunan simpanan tanah syarikat.

"Ini kerana terdapat kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan kediaman bercampur dan perbandaran komersial tetapi fokus kepada kediaman mampu milik," katanya.

Mengulas prestasi syarikat, beliau berkata, BDB mampu berkembang lebih agresif bagi separuh kedua tahun ini, didorong perancangan beberapa projek terbaharu tahun ini.

Syarikat mencatat prestasi kukuh pada separuh pertama tahun ini dengan keuntungan bersih RM11 juta yang disandarkan kepada pendapatan sebanyak RM127 juta.

Pembangunan hartanah menyumbang 45 peratus daripada pendapatan kumpulan, diikuti penyelenggaraan jalan raya dan kuari sebanyak 29 peratus serta pembinaan (23 peratus).

Berita Harian X