Ahad, 5 April 2015 | 12:19pm
ANGGOTA bomba diketuai Abdul Manaf Che Isa dari Pasukan Khas SMART bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim di lokasi kejadian helikopter terhempas. - Gambar ihsan Bomba

Laporan awal nahas dijangka dalam tempoh 7 hari - DCA

KAJANG: Laporan awal nahas helikopter AS635 yang terhempas di Semenyih, semalam dijangka keluar dalam tempoh tujuh hari selepas siasatan terperinci dijalankan.

Pengarah Operasi Penerbangan, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Yahya Abdul Rahman, berkata wakil DCA akan ditempatkan di lokasi nahas, setiap hari sehingga proses siasatan selesai.

"Hari ini, tiga wakil DCA dan dua pegawai kementerian pengangkutan sudah masuk ke lokasi bagi menjalankan siasatan. Berdasarkan tinjauan yang kami lakukan dari udara sebentar tadi, tidak menunjukkan helikopter berkenaan melanggar apa-apa objek kerana ia terbang pada ketinggian 1500 kaki," katanya ketika ditemui Sungai Pening, Semenyih, tadi.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca nahas berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga akan menjemput penyiasat luar iaitu dari wakil syarikat Airbus.

Berita Harian X