X
Isnin, 6 April 2015 | 7:09pm

Sukan SEA: MOM sedia timbang Adi Alifuddin - Kok Chi

Atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin.
Atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin.

KUALA LUMPUR: Peluang atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin mewakili negara ke Sukan SEA Singapura yang akan berlangsung Jun ini masih terbuka.

Walaupun Adi gagal layak diri secara merit ke temasya dwitahunan itu namun Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata pihaknya masih mempertimbangkan untuk menghantar Adi menyertai kontinjen negara bagi kategori B.

Sieh berkata Adi masih berpotensi meraih pingat di Singapura nanti walaupun atlet itu gagal meraih tiket secara merit ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan keputusan 15.87 meter.

Adi berjaya mencuri tumpuan pihak MOM apabila memperbaiki keputusan tersebut dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada Terbuka Singapura minggu lepas.

"Adi ada peluang untuk meraih pingat di Sukan SEA, MOM akan mempertimbangkan untuk menghantar beliau ke Singapura, pada Kejohanan Terbuka Singapura minggu lalu beliau berhasil melakukan keputusan yang baik namun masih belum berhasil melepasi kelayakan yang ditetapkan iaitu 17.10 meter," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Untuk rekod Adi, 27, adalah pemenang pingat perak bagi Sukan SEA tiga kali berturut-turut sejak 2009.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. - Foto Zulkarnain Mohd Saidin
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. - Foto Zulkarnain Mohd Saidin

Beliau juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan terbaik 17.53m ketika beraksi di Sukan SEA Palembang 2011.

Berbeza pula dengan nasib atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei gagal meraih tiket kategori B daripada MOM walaupun atlet berkenaan melepasi kelayakan dengan lompatan setinggi 2.17m ketika di Terbuka Singapura.

Sieh berkata peluang untuk Hup Wei tertutup.

"Kejohanan Terbuka Malaysia adalah peluang terakhir untuk beliau (Hup Wei) meraih tiket ke Sukan SEA, bagi saya Hup Wei elok bersara, bukan saya tidak suka beliau. Kalau dia masih muda, peluangnya tinggi. Kita juga hantar dua nama atlet ke Sukan SEA dan mereka dipilih kerana mereka lebih layak," katanya.

Dua atlet lompat tinggi yang terlebih dahulu melepasi kelayakan ialah Nauraj Singh dan Muhammed Ashraf Saipu Rahman.

MOM menghantar nama lebih 600 atlet menyertai Sukan SEA Singapura yang berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini. - BERNAMA

Berita Harian X