Rabu, 8 April 2015 | 1:09am

PPPM (PT) model transformasi pendidikan terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), yang dilancarkan semalam adalah acuan transformasi pendidikan tinggi terbaik yang boleh dicontohi negara lain.

Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova menyuarakan keyakinan PPPM (PT) akan menjadi penanda aras transformasi pendidikan tinggi di rantau Asia.

Pelan yang merangkumi 10 lonjakan itu katanya, selaras wawasan agenda pembangunan UNESCO pasca 2015 untuk memacu kualiti dan pencapaian pendidikan di seluruh dunia.

Aspirasi pembangunan

"Kecemerlangan pendidikan pada semua peringkat adalah kunci kejayaan untuk merealisasikan aspirasi pembangunan Malaysia yang berteraskan inovasi, kreativiti dan pengetahuan.

"Pendidikan bukan sekadar melahirkan insan berpengetahuan dan berkemahiran, sebaliknya menerapkan nilai tanggungjawab dalam masyarakat dan komuniti sejagat.

"Saya yakin pelan yang menerapkan beberapa prinsip seperti capaian, kualiti dan kesaksamaan ini berupaya menjadi pemangkin transformasi Malaysia pada abad akan datang," katanya.

Pensyarah Pengurusan Global dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) Amerika Syarikat, Prof Charles H Fine, berkata PPPM (PT) sewajarnya menjadi pengukur hala tuju pendidikan pelbagai negara serantau.

Selain menggariskan fungsi universiti awam dalam melonjak pendidikan negara katanya, pelan itu turut memuatkan segala cabaran yang perlu dihadapi dan langkah penyelesaiannya.

"Aspirasi pelan ini yang berpandukan kualiti, kesaksamaan, perpaduan, capaian dan keberkesanan adalah gambaran keseimbangan yang perlu dicapai dalam pendidikan tinggi

Irina Bokova
Irina Bokova

Kerjasama realisasi matlamat

"Guru, pelajar, pentadbir universiti awam, peneraju industri, ahli pertubuhan bukan kerajaan, penjawat awam dan swasta perlu menyahut cabaran serta menggembleng tenaga untuk merealisasikan matlamat yang digariskan dalam PPPM (PT)," katanya.

Fine berkata, penubuhan Institut Pengajian Perniagaan Asia yang bakal membuka pengambilan September ini antara lain berupaya menyokong gagasan pendidikan yang diterapkan dalam PPPM (PT).

Katanya, beberapa program yang akan dilaksana di institut berkenaan selaras dengan 10 lonjakan dalam PPPM (PT) seperti keusahawanan, kecemerlangan bakat, pembelajaran seumur hidup dan ekosistem inovasi.

"Rangkuman yang digariskan menerusi 10 lonjakan ini secara tidak langsung menzahirkan usaha pelbagai pihak dalam mengendalikan penyelidikan mengenai cabaran pendidikan masa kini.

"Setiap negara perlu sedar bahawa kita kini hidup dalam dunia dinamik dan arus ekonomi global yang saling berhubung," katanya.

Berita Harian X