Rabu, 13 Ogos 2014 | 6:33pm
Presiden merangkap Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (dua dari kiri), Pengerusi Tan Sri Mohd Sidek Hassan (tengah), Ketua Pegawai Kewangan Datuk George Ratilal (kiri), Ketua Pegawai Operasi Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kanan) dan Naib Presiden Eksekutif Datuk Wee Yiaw Hin selepas pengumuman keputusan kewangan suku kedua PETRONAS di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rosela Ismail[FOTO ROSELA ISMAIL /BH]

Pendapatan enam bulan PETRONAS RM169.4 bilion, tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Petronas meraih pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu RM169.4 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini, meningkat 12 peratus berbanding RM151.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan lebih tinggi yang diraih bagi tempoh dikaji juga menyaksikan keuntungan sebelum cukai kumpulan mencecah RM55.3 bilion, rekod tertinggi yang dicapai PETRONAS iaitu peningkatan sembilan peratus daripada RM50.8 bilion sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut meningkat 15 peratus kepada RM69.8 bilion pada separuh pertama tahun ini daripada RM60.7 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil daripada prestasi positif itu, kumpulan meraih keuntungan bersih sebanyak RM39.8 bilion bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2014, naik 12 peratus berbanding RM35.6 bilion tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2014, PETRONAS meraih keuntungan bersih RM21 bilion, naik 37 peratus berbanding RM15.3 bilion yang dicatat bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh dikaji, PETRONAS meraih pendapatan berjumlah RM85.4 bilion, meningkat 15 peratus daripada RM74.4 bilion yang diperoleh suku kedua tahun lalu.

Keputusan kewangan suku kedua syarikat minyak nasional itu diumumkan oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas di sini, hari ini.

Setakat 31 Disember 2013, PETRONAS memiliki aset berjumlah RM528.7 bilion, meningkat lapan peratus atau RM39.5 bilion berbanding RM489.2 bilion pada 31 Disember 2012, manakala tunai berjumlah RM140.9 bilion, naik RM1.8 bilion (1.3 peratus) daripada RM139.1 bilion.

Berita Harian X