Rabu, 8 April 2015 | 2:32pm

Dua kawasan hutan sasaran pembalakan haram di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Terengganu mengesan dua kawasan hutan simpan di negeri ini yang menjadi sasaran kegiatan pembalakan haram iaitu di Hutan Simpan Rasau, Kertih, Kemaman dan di Hutan Simpan Pelagat dan Hutan Simpan Gunung Tebu, di Besut.

Hasil maklumat orang ramai dan risikan Jabatan Perhutanan Terengganu, kegiatan itu berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lima lelaki berumur 19 tahun hingga 34 tahun dalam satu operasi membabitkan 10 pegawai Jabatan Perhutanan negeri, dua pegawai Ibu Pejabat Perhutanan Pusat dan enam anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, di sini.

Kumpulan itu dipercayai terbabit dengan kegiatan pembalakan haram di kawasan Hutan Simpan Pelagat dan Hutan Simpan Gunung Tebu pada 5 April lalu.

Kelima-lima mereka yang dipercayai penduduk tempatan dari daerah Besut juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Tiga daripada mereka dituduh mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara kerana memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Dua lagi dituduh mengikut seksyen 47(1) kerana masuk ke dalam hutan tertutup tanpa kebenaran tertentu dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X