Selasa, 14 April 2015 | 9:16am

Agama: Tiga amalan kunci motivasi lahir Muslim salih


Solat akan membawa hati yang bersih mengikuti segala ketentuan Allah SWT. - Gambar hiasan

bhagama@bh.com.my

Soal keselamatan menjadi perbahasan utama di mana-mana saja pada hari ini. Tanpa keselamatan, keamanan, kemakmuran dan keharmonian, kehidupan tidak akan tenang sedangkan ketenangan menghasilkan seribu rahmat serta kemajuan.

sebagai seorang Muslim, sudah pasti keselamatan yang diimpikan bukan saja di dunia, tetapi juga pada hari akhirat yang kekal selamanya. Sudah menjadi kebiasaan bagi seorang Muslim sering mengucapkan doa keselamatan dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah al- Baqarah, ayat 201)

Umum memahami doa tanpa usaha adalah sesuatu yang sia-sia kerana tanpa amalan, kita tidak mampu mengubah apa-apa. Sebenarnya kunci kepada kejayaan adalah berusaha menjadi hamba yang salih serta yakin bahawa Allah SWT sentiasa melihat segala apa yang kita usahakan.

Tingkatan manusia

Apabila merasakan kita sentiasa dipantau oleh Allah SWT, maka kita sudah menjadi hamba yang Muhsinin kerana berdasarkan asas ajaran dalam agama Islam, tingkatan manusia bermula dengan Muslim (Muslimin), Mukmin (Mukminin) dan Muhsin (Muhsinin).

Dalam kalangan ahli sufi disebut ihsan di mana mereka mendefinasikan ihsan dengan beribadah seolah-olah melihat Allah SWT dan jika tidak melihat Allah SWT, maka Allah SWT melihat mereka.

Asas ajaran agama Islam ialah rukun Islam yang mencakupi hukum fekah, Rukun Iman yang mendasari ilmu usuluddin, iktikad atau kepercayaan dan ihsan yang menjana akhlak serta melahirkan ilmu tasauf.

Ketika manusia sampai kepada darjat ihsan, barulah mereka merasakan seolah-olah melihat seterusnya akan muncul akhlak mulia sehingga mencapai tahap seorang Muslim yang salih seperti dicapai oleh mereka yang terdahulu daripada orang yang salih (salafus salih).

Mengingati Allah SWT dengan berzikir secara terang dan sembunyi adalah latihan untuk menzahirkan akhlak terpuji yang membawa kepada ihsan. Al-Quran sering mengingatkan orang Mukmin untuk meningkatkan diri mencapai tingkatan ihsan (Muhsinin) dengan mengingati Allah SWT penuh keyakinan, sabar, solat dan berzakat.

Tiga amalan itu adalah kekuatan orang beriman serta ciri baik yang membantu ke arah mencapai darjat ihsan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman, mengerjakan amal salih, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Surah al-Baqarah, ayat 277)

Mereka yang mencapai tahap keimanan inilah yang didoakan oleh Baginda SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj di mana Baginda SAW memohon keselamatan untuk hambanya ketika bertemu Allah SWT dengan berkata: "Keselamatan bagi kami dan hamba Allah SWT yang salih."

Solat bersihkan hati

Maka, ia diulangi oleh seluruh umat yang menunaikan solat setiap waktu hingga hari kiamat. Jelaslah solat akan membawa hati yang bersih serta mengikuti segala ketentuan Allah SWT.

Syaikh Ibnu A'thoillah As Sakandari yang terkenal dengan kesufiannya mengatakan: "Orang yang ikut mengatur bersama Allah SWT adalah seperti anak yang pergi bersama ayahnya. Keduanya berjalan di malam yang gelap gelita. Kerana menyayangi anaknya, ayah sentiasa mengawasi dan memperhatikannya tanpa diketahui anak. Anak itu tidak mampu untuk melihat ayahnya dan meresahkan keadaan dirinya serta tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika cahaya bulan menyinari dan ia melihat ayahnya dekat kepadanya, keresahannya sirna. Ia tahu ayahnya begitu dekat dengannya. Kini ia merasa tidak perlu ikut mengurus dirinya kerana segala sesuatu telah diperhatikan oleh ayahnya. Seperti itulah orang mengatur untuk dirinya. Ia melakukannya kerana berada dalam kegelapan, terputus daripada Allah SWT. Ia tidak merasakan akan hampirnya Allah SWT. Andai kata bulan tauhid atau mentari makrifat menyinarinya, tentu ia melihat Tuhan begitu dekat, sehingga ia malu untuk mengatur dirinya dan berasa cukup dengan pengaturan Allah."

Demikianlah keyakinan orang beriman yang berasa yakin selepas mendapat perhatian Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah SWT, Rasul-Nya, dan orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah)." (Surah al -Maaidah, ayat 55 )

Oleh itu, sabar adalah contoh dalam hubungan antara Allah SWT dan Manusia. Solat contoh perbuatan yang mendekatkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Zakat adalah contoh perbuatan yang merapatkan hubungan manusia sesama manusia.

Semuanya saling melengkapi untuk mencapai tahap tertinggi di sisi Allah SWT. Dengan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi kita, maka segala urusan menjurus kepada keyakinan terhadap Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya." (Surah Ali-Imran, ayat 2).

Dengan menjaga dan memelihara keyakinan (iman) itulah yang disebut takwa kepada Allah SWT, kunci kepada takwa dan akhlak mulia. Ini motivasi sebenar untuk menjadi seorang Muslim yang salih sehingga kita dapat menjadi orang yang mulia di sisi Allah SWT dan terus pada saf hadapan dan terdekat dengan Allah SWT.

Ilmu tauhid elak jadi kufur

Ilmu tauhid pula dapat menyelamatkan kita daripada fahaman yang boleh menjadikan kita kufur, fahaman yang mengatakan Allah SWT menyerupai makhluk adalah sesat dan kafir.

Al-Imam Ahmad ibn Hanbal, salah seorang murid terkemuka al Imam Malik menuturkan kaedah yang sangat bermanfaat dalam ilmu tauhid. Beliau berkata, apa pun yang terlintas dalam fikiran kamu (mengenai Allah), maka Allah tidak seperti itu.

Jauhilah sifat sombong terhadap Allah SWT dengan mengetepikan kekuasaan-Nya terhadap sesuatu serta menolak ilmu yang sentiasa mendekatkan diri pada-Nya. Menolak kebenaran adalah salah satu ciri kesombongan terhadap Allah SWT.

Jahiliah moden dapat dilihat pada hari ini apabila keselamatan umat digugat dengan perpecahan sehingga memporakperandakan negara umat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian mereka (pengikut Rasul itu) menjadikan agama mereka berpecah-belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka masing-masing." (Surah al-Mu'minun, ayat 53)

Di sinilah persoalan kepada keselamatan kita di dunia dan akhirat. Kesimpulannya, ilmu yang bermanfaat akan menyelamatkan manusia jika mereka yakin bahawa Allah SWT tidak akan membiarkan hamba-Nya sendirian.

Berita Harian X