Rabu, 15 April 2015 | 12:53am

Pemimpin PAS Pusat tidak hadir pelancaran jentera PKR

DATIN Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersama kepemimpinan pakatan pembangkang melafazkan ikrar ketika Majlis Pelancaran Jentera PKR bagi PRK Permatang Pauh, di sini, malam tadi. - Foto Danial Saad

BUKIT MERTAJAM: Majlis Pelancaran Jentera PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, di sini, malam tadi, diadakan tanpa kehadiran kepimpinan tertinggi PAS.

PAS hanya diwakili oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS Pulau Pinang iaitu ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Bagaimanapun, Mujahid dalam ucapannya memberitahu bahawa Timbalan Presiden PAS, merangkap Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, tidak dapat hadir atas alasan yang tidak dapat dielakkan.

DATIN Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PKR bagi PRK Permatang Pauh, di sini, malam tadi. - Foto Danial Saad

"Walaupun Timbalan Presiden kita tidak dapat hadir, tetapi PAS negeri akan memberikan sokongan 101 peratus sokongan kepada PKR dalam PRK Permatang Pauh ini," katanya di hadapan kira-kira 300 orang hadirin.

Antara pemimpin pakatan pembangkang yang hadir ialah Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Jentera PKR memilih cogan kata 'Demi Rakyat, Bantah GST Tegakkan Keadilan' bagi menghadapi kempen PRK Permatang Pauh yang akan bermula pada 25 April ini.

Berita Harian X