Rabu, 15 April 2015 | 10:16pm

Raja Muda Perlis terima watikah pelantikan Canselor KUIPs


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan menerima Watikah Pengisytiharan Canselor daripada Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Prof Datuk Dr Hassan Said (tengah) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor KUIPs di sini hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang pertama.

Watikah pelantikan baginda diserahkan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Prof Datuk Dr Hassan Said, bersama Rektor KUIPs, Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, sempena istiadat pemasyhuran yang diadakan di sini, petang ini.

Yang turut berangkat ke majlis istiadat berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam titah baginda, Raja Muda Perlis melahirkan rasa sukacita serta menerima pelantikan sebagai Canselor dengan penuh tanggungjawab.

"KUIPs ini adalah di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

"Secara langsung mahu pun tidak, ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama meninggikan syiar Islam dan mengangkat martabat ummah khususnya di Perlis ini dengan meletakkan nama KUIPs sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dinamik dan dibanggakan.

"Semua pihak harus memberi sokongan padu kepada KUIPs untuk menjayakan matlamat melahirkan khalifah berilmu dan beramal yang kompeten dalam memangkin pembangunan dan pemodenan negara serta menjadi institusi akademik pengajian Islam holistik dan terkemuka di peringkat antarabangsa," titah baginda.

KUIPs beroperasi secara sementara pada 17 Jun 2013 sebelum beroperasi secara rasmi di Kompleks Desa Siswa, Sungai Chuchuh, Padang Besar pada 3 Mac 2014.

Pengambilan pertama pelajar di kolej ini adalah pada 15 Mei tahun lalu membabitkan 61 penuntut dan kini jumlah keseluruhan penuntut yang mengikuti pengajian di kolej berkenaan adalah seramai 150 orang.

Mohd Mizan, ketika ditemui berkata KUIPs komited menjadi IPTS berteraskan Islam yang unggul di rantau ASEAN serta menjadi institusi pilihan pelajar Islam di Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Asia Barat.

Berita Harian X