Jumaat, 17 April 2015 | 12:05am
ISTERI yang menjadi mangsa dera sentiasa dalam ketakutan. Gambar hiasan.
KECEDERAAN yang dialami selepas dipercayai didera suami. - Foto Ikhwan Munir.

Bebas daripada 'penjara' kehidupan

KEGANASAN rumah tangga adalah isu yang tidak pernah berkesudahan, justeru masyarakat perlu terus diterapkan dengan kesedaran mengenainya.

Walaupun gejala ini seperti tiada penghujungnya, mujurlah ada banyak agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang cakna dan tampil memberi bantuan. Antaranya termasuk Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) untuk memulihkan semula emosi serta semangat wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

Bagi seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Emma, rumah tangga diimpikan bahagia hingga ke syurga bertukar menjadi mimpi ngeri. Bertahun-tahun beliau bertahan dalam 'penjara hidup', akhirnya membuat keputusan bercerai.

"Selama 18 tahun saya didera secara fizikal dan mental. Saya masih boleh tahan kiranya segala tohmahan dan cacian yang dilemparkan itu hanya dituju kepada saya tetapi malangnya, suami memukul saya di depan anak dan mereka sangat terkesan.


KEGANASAN rumah tangga adalah isu yang tidak pernah berkesudahan. - Gambar hiasan

"Kami ada tiga anak dan mereka hingga kini masih membenci sikapnya. Anak mana yang dapat menahan sabar melihat ibunya sering dipukul. Suami saya bukan saja tidak bekerja, malah apabila saya bekerja untuk menyara keluarga, dituduh menjual tubuh dan memanggil saya perempuan murah," katanya yang hampir membunuh diri kerana terlalu tertekan.

Emma ketika ditemui pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Dulux dengan kerjasama WAO, di Petaling Jaya, baru-baru ini, berkata beliau pernah berbincang dan memberi galakan kepada suaminya untuk bekerja.

Malah, beliau juga pernah membelikan teksi untuk suaminya menyara keluarga. Akibat sikap suaminya yang malas dan tidak mahu berusaha untuk kemajuan diri, perkhidmatan teksi itu akhirnya berkubur kerana tidak pulang modal.

Emma berkata, beliau semakin tidak sabar dengan sikap suami, tetapi disebabkan anak, beliau mampu bertahan kerana mereka adalah sumber kekuatannya.

Melihat anaknya yang masih bersekolah dan terkapai-kapai untuk meneruskan kehidupan, beliau mula mendapatkan pertolongan.

"Saya tidak tahan lagi hidup dalam rumah itu, jadi saya mendapatkan pertolongan daripada WAO. Saya mendapatkan perlindungan. Sekurang-kurangnya di situ saya tahu keselamatan diri dan anak-anak terjaga.

"Kini saya sudah bercerai dengan suami, walaupun pelbagai peristiwa perit yang berlaku, saya masih membenarkan dia untuk berjumpa anak-anak," katanya.

  Ambika, 43, (bukan nama sebenar) yang turut mengalami nasib sama, peristiwa 14 tahun lalu meninggalkan kesan yang buruk terhadap hidupnya. Suami mula berubah selepas mereka mempunyai dua anak.

Suaminya mula bergaul dengan rakan yang suka minum minuman keras dan berjudi. Akibatnya, suaminya sering pulang dalam keadaan mabuk dan apabila kalah judi, Ambika menjadi mangsa suami melepaskan kemarahan.

Sikap suami berubah selepas mendapat anak kedua apabila pengaruh alkohol membuat suami hilang akal dan tidak bertindak dengan waras.

"Hampir setiap hari, saya dimarah dan bertambah buruk, dia memukul saya apabila tidak memberi wang kepadanya," katanya.

Pertengkaran mereka bertambah buruk, malah pernah sekali suami hampir menikamnya. Akibat cedera parah dibelasah, beliau dimasukkan ke hospital.

Lama-kelamaan, Ambika tidak tahan lagi dan melarikan diri dari rumah. Beliau keluar rumah bersama anak tanpa wang dan terpaksa berteduh di sebuah kuil selama tiga hari supaya tidak dikesan suami.

Selama tiga hari, mereka tidak makan dan hanya minum air hujan. Ambika hampir membunuh diri kerana tidak menyusukan anaknya yang berusia lapan bulan.

"Saya fikir ingin membunuh diri kerana takut dipukul lagi, tetapi saya tetap kuatkan semangat," katanya.

Beliau bersyukur nasibnya berubah selepas berjumpa seorang sahabat yang membantu dan membawanya ke pusat perlindungan WAO.


Isteri yang didera suami. - Foto NSTP

Ambika mengambil masa selama beberapa bulan sebelum semangatnya benar-benar pulih.

"Saya tidak sangka saat saya hampir berputus asa ada yang datang membantu. Selepas saya diberi rawatan kaunseling oleh pekerja sosial WAO dan kemesraan mereka melayan serta membantu saya sekeluarga membuatkan saya kembali pulih.

"Kini, saya sudah kembali bekerja dan anak saya juga berjaya dalam pelajaran serta menuntut di kolej.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan, berkata pihaknya menyediakan pelbagai program bagi mendidik masyarakat.

   "Keganasan rumah tangga sudah menjadi satu isu yang berada dalam benak fikiran masyarakat dan dianggap sebagai satu subjek penting," katanya yang turut berterima kasih kepada Dulux yang menaja cat baharu untuk premis itu.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Prof Madeline Berma, pula berkata keganasan rumah tangga biasa berlaku di belakang pintu iaitu di dalam rumah tanpa pengetahuan pihak luar.

Isu keganasan ini tidak seperti perkara lain yang mudah untuk dibawa berbincang, menyebabkan kebanyakan mangsa mengambil langkah untuk berdiam diri.

  Madelina berkata, guru dan kaunselor di sekolah juga perlu lebih peka untuk mengesan murid yang berkemungkinan menjadi mangsa keganasan, antaranya jika terdapat kesan lebam, berada dalam kemurungan atau menjadi kaki buli.

60 dibaca
Berita Harian X