Jumaat, 17 April 2015 | 2:42pm

Tuntutan palsu: Pegawai kastam Perlis dipenjara, denda

BEKAS pegawai Kastam, S MS Lingesvaran ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kangar selepas dituduh melakukan tuntutan palsu mengikut Seksyen 11 (C) Akta Pencegahan Rasuah 1987. - Foto Hafizudin Mohd Safar

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 terhadap pegawai Kastam Diraja Malaysia Perlis yang didapati bersalah membuat tuntutan palsu penginapan hotel 10 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Perlis, Abu Bakar Katar menetapkan tambahan lima bulan penjara jika tertuduh, Pembantu Penguatkuasa Kastam, S MS Lingesvaran, 39, gagal membayar denda berkenaan.

Lingesvaran dituduh menggunakan dokumen dengan niat hendak memperdayakan majikannya dengan resit hotel Kuala Perlis Seaview Hotel bernombor GF 2221.

Ia mengandungi butiran palsu berkenaan bayaran sewa berjumlah RM500 dan tarikh menginap 14 Mac sehingga 18 Mac 2005 bersama Borang Tuntutan Elaun Pertukaran Ke Luar Stesen dari Pejabat Kastam Diraja Malaysia Daerah Hulu Perak ke Unit Narkotik, Taman Kastam Dua, Padang Besar pada 6 Mei 2005.

Resit dan borang tuntutan berkenaan dikemukakan tertuduh sedangkan dia sebenarnya tidak menginap di hotel berkenaan pada tarikh yang dinyatakan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Berita Harian X