Sabtu, 18 April 2015 | 12:07am
HAIRUDDIN Omar selaku Presiden PFAM sentiasa bergandingan dengan Izham untuk memantau kebajikan dan perkembangan pemain pro seluruh negara. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SAFEE Sali adalah antara Exco PFAM yang mahu turut serta dalam perjuangan menjaga kebajikan pemain.. - Foto Osman Adnan
SHUKOR Adan juga dilantik membantu PFAM berbekal pengalaman luas di pentas antarabangsa. - Foto Osman Adnan
PENJAGA gol JDT II, Mohd Anis Faron Ahmad. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
SOAL insurans juga menjadi antara agenda utama PFAM membantu pemain pro, termasuk insiden kecederaan ketika permainan. - Foto Osman Adnan

PFAM tekad bela Anis Faron


"SELAGI ada peredaran bulan dan bintang, PFAM akan terus aktif berkhidmat untuk pemain bola sepak di negara ini," janji Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail.

Dengan kepimpinan baik dan struktur yang ada ketika ini beliau yakin persatuan berkenaan mampu terus bertahan untuk memperjuangkan hak pemain bola sepak profesional di Malaysia.

PFAM pernah diwujudkan pada tahun 2009 tetapi menemui kegagalan dan hanya dihidupkan semula oleh kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar apabila dia dilantik sebagai Presiden PFAM yang baharu pada tahun 2013.

"Fungsi utama PFAM ialah untuk menjadi suara dan perwakilan pemain serta menjadikan profesion pemain bola sepak ini lebih kondusif. Jadi pelbagai usaha dilakukan PFAM untuk menyedarkan pemain mengenai nilai-nilai profesionalisme mereka sebagai pemain," kata Izham.

Cabaran getir bakal dihadapi badan ini adalah mengenai kes penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT II), Mohd Anis Faron Ahmad yang ditamatkan kontrak atas tuduhan mengaibkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 3 April lalu.

Ada juga ruang bicara di sini untuk menyoal tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ketika pemain berkenaan mempertahankan dia tidak bersalah tempoh hari.

Berdasarkan peruntukan dalam kontrak, seseorang pemain itu tidak boleh ditamatkan kontraknya selagi mana kes belum selesai di mahkamah.

Apa yang boleh dilakukan oleh pasukan adalah membayar separuh gaji di sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Apabila sudah terbukti bersalah, barulah pasukan berhak untuk menamatkan kontrak pemain serta merta.

PENJAGA gol JDT II tetap akan dibela dan PFAM berpendapat ada ruang untuk memperjuangkan kes ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

PFAM sedia temu PBNJ

Berhubung kes Anis Faron, PFAM sedia membantu penjaga gawang berkenaan untuk berunding semula dengan pasukan Johor.

"PFAM akan menghubungi pihak PBNJ berkenaan status Anis Faron untuk menerangkan perkara ini," kata Izham, hari ini.

Mungkin terdapat beberapa variasi dalam menginterpretasikan sesuatu peruntukkan yang terkandung dalam kontrak. PFAM berharap dan percaya bahawa isu ini dapat diselesaikan secara baik.

Jika PBNJ mahu menamatkan kontrak Anis tanpa menunggu kes ini selesai, penamatan yang dicadangkan oleh PFAM adalah penamatan secara persetujuan bersama.

"Akhir sekali, PFAM ingin menasihati Anis agar belajar dari kesilapan ini dan mempertingkatkan nilai profesionalisme sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

"PFAM juga bersedia pada bila-bila masa untuk membantu Anis dalam mencapai jalan penyelesaian terbaik berkenaan isu ini," katanya.

Kira-kira tujuh bulan lalu, bagi memantapkan urusan pentadbiran harian PFAM, Izham pula dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan menurut bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya itu, PFAM kini di landasan tepat dalam menjaga kebajikan pemain Liga Malaysia (Liga-M).

"Selepas tujuh bulan, saya sebagai CEO berasakan PFAM berada di landasan betul untuk kita mewakili pemain dengan proaktif dan mendidik mereka menjadi seorang yang lebih profesional.

"Berfungsi atau tidak, itu saya serahkan kepada pemain yang kami berkhidmat kepada mereka. Kami di fasa pertama untuk membangunkan PFAM. Kami ada sasaran dan sebagai permulaan, kita perlu memperkemas struktur organisasi persatuan terlebih dahulu.

"Setakat ini, kita sudah mempunyai 303 ahli, iaitu kira-kira 51 peratus dari kalangan pemain bola sepak profesional di negara ini dan ia satu angka yang boleh dibanggakan," kata Izham ketika ditemui BH PLUS di pejabat PFAM yang terletak di Subang Jaya, baru-baru ini.

ANTARA kes terdahulu PFAM dikendali Izham adalah berhubung isu tunggakan gaji pemain Perlis, tahun lalu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Ajar pemain isu kontrak

Biarpun baru setahun jagung, PFAM yang bertindak sebagai orang tengah sudah berjaya menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi antaranya masalah tunggakan gaji membabitkan 11 pemain Perlis serta masalah kontrak membabitkan pemain kebangsaan, Gary Steven Robbat.

"Selain itu, kami juga terbabit untuk menyelesaikan masalah kontrak dan gaji pemain lain termasuk pemain import. Jadi dengan apa yang dilakukan setakat ini, ia boleh meyakinkan pemain yang PFAM ini sentiasa di belakang mereka untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

"Apa pun usaha PFAM tidak hanya terbatas dalam mewakili pemain dari segi undang-undang. Kami juga komited untuk mendidik mereka dengan sentiasa mengadakan kelas undang-udang dan penerangan mengenai kontrak serta hak mereka.

"Kami juga sedang mengadakan siri jelajah ke pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Perdana di seluruh negara dalam proses menambah keahlian dan pada masa sama menerangkan kepada pemain mengenai nilai-nilai profesional mereka sebagai seorang pemain," jelas Izham.

Memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang serta minat mendalam terhadap bola sepak sejak kecil membuatkan Izham begitu bersemangat untuk memajukan PFAM supaya seiring dengan persatuan-persatuan pemain profesional lain di dunia seperti England, Australia dan India.

"Kami jadikan semua persatuan pemain bola sepak profesional di dunia sebagai rakan PFAM untuk satu tujuan iaitu memprofesionalkan profesion pemain bola sepak. Sudah tentu PFA di England yang paling tua dijadikan model manakala PFA di Australia dan India sebagai rakan strategik terbaik di Asia ini.

"Biarpun PFAM buat masa ini dilihat kecil dari segi angka pendaftarannya, tapi sokongan kita di peringkat global cukup besar iaitu membabitkan kira-kira 30,000 pemain di seluruh dunia. Visi Hairuddin Omar adalah sama dengan visi Cristiano Ronaldo, itu yang boleh saya katakan," ujarnya.

Terbaharu, PFAM bakal memperkenalkan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM mulai Mei ini selepas mendapat kerjasama daripada agensi foto, All Sports Images And News Agency (ASIANA.MY) selaku penaja dan ia sekali gus dilihat mampu melonjak semangat pemain serta memeriahkan lagi saingan Liga-M musim ini.

CEO PFAM, Izham Ismail bertekad bantu pemain profesional selagi ada peredaran bulan dan bintang. - Foto Osman Adnan

INFO

Carta Organisasi PFAM

Presiden: Hairuddin Omar (ATM)

Naib Presiden: Rezal Zambery Yahya (NS MATRIX)

Exco:

- P Gunalan (PKNS FC)

- Shukor Adan (FELDA UNITED)

- Safee Sali (JDT)

- Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT)

Ketua Pegawai Eksekutif: Izham Ismail

Perunding Eksekutif: Dr Jady @ Zaidi Hassim

Eksekutif Undang-Undang: Azzairi Rosle

Eksekutif Pemasaran & Komunikasi: Tuan Arief Tuan Yusof

Eksekutif Pentadbiran: Hanani Azren Husin dan Wan Syazana Akmal Wan Roslan

Aktiviti yang boleh disertai pemain dengan menjadi ahli PFAM:

- Khidmat masyarakat

- Bantuan guaman

- peluang komersial/penajaan

- kursus kejurulatihan

- kursus komunikasi

- kursus pengurusan kewangan

- kursus keusahawanan

- kemunculan di media

- malam gala anugerah PFAM

- pengurusan pemain

- insurans

Laman web rasmi: www.pfam.my

Berita Harian X