Isnin, 20 April 2015 | 3:30pm

Hadi, Tuan Ibrahim terus di depan

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Sokongan bagi pencalonan jawatan Presiden PAS diterima Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus kukuh, memberi bayangan kumpulan pro-ulama dijangka mendominasi pucuk pimpinan baharu menjelang Muktamar parti itu, Jun depan.

Ia diperkuat lagi dengan pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS, yang kini didominasi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Naib Presiden PAS.

Berdasarkan rekod pencalonan sehingga semalam, Abdul Hadi mendahului jauh di depan berbanding penama lain iaitu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang yang masing-masing hanya memperoleh kurang daripada 10 pencalonan daripada kawasan.

Bagi jawatan nombor dua PAS pula, Tuan Ibrahim kini sudah memperoleh lebih 70 pencalonan, memberi isyarat kesukaran bakal dihadapi penyandang, Mohamad Sabu untuk mempertahan jawatan disandang ketika ini.

Biarpun Abdul Hadi dikutuk hebat sekutunya, terutama daripada DAP dan PKR berhubung isu hudud dan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian di Dewan Rakyat, ia seakan tidak memberi kesan terhadap sokongan akar umbi PAS terhadap kepimpinannya.

Bagi jawatan Naib Presiden PAS, sembilan nama kini memenuhi pencalonan dengan tiga tertinggi diperoleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dr Idris Ahmad; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Enam nama lain yang turut tercalon, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad; Husam; Tuan Ibrahim dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Muktamar PAS ke-61 akan berlangsung di Kuala Selangor pada 2 hingga 6 Jun depan dan ketika ini 191 kawasan telah atau akan bermesyuarat memilih nama untuk bertanding jawatan pucuk pimpinan parti.

Dalam pemilihan PAS di peringkat kawasan sebelum ini, turut menyaksikan beberapa nama penting tewas termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, gagal pertahan jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar yang disandangnya sejak tujuh penggal lalu.

Dr Abdul Rani Osman, mantan Pesuruhjaya PAS Selangor yang dikaitkan dengan kumpulan 'Anwarinas' juga gagal mempertahankan jawatan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kapar pada pemilihan kali ini.

INFO:

Pencalonan Muktamar PAS pusat sehingga pagi ini

Presiden PAS

1 Datuk Seri Abdul Hadi Awang (80)

2. Datuk Husam Musa (8)

3. Ahmad Awang (3)

Timbalan Presiden PAS

1. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (78)

2. Mohamad Sabu (9)

Naib Presiden

1. Dr Idris Ahmad (64)

2. Salahuddin Ayub (40)

3. Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (36)

4. Datuk Mahfuz Omar (34)

5. Nasrudin Hassan Tantawi (33)

6. Datuk Iskandar Abdul Samad (20)

7. Datuk Husam Musa (10)

8. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (6)

9. Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (3)

Berita Harian X