Selasa, 21 April 2015 | 12:04am

SIRI MISTERI: Bayangan pembunuh bersiri Jack The Ripper

CORAK pembunuhan dilakukannya amat mengerikan iaitu mangsa disembelih, dilapah, tubuh dibelah dan organ dalaman dikeluarkan.

MISTERI pembunuhan kejam lima wanita sekitar London pada tahun 1888 terus dikenang sebagai antara misteri terbesar dalam sejarah jenayah dunia, lantaran identiti sebenar pembunuh bersiri itu gagal dibongkar mana-mana pihak hingga kini.

Pembunuh bersiri berkenaan hanya memperkenalkan dirinya sebagai 'Jack The Ripper' tetapi jawapan kepada persoalan siapa beliau sebenarnya mungkin terus kekal sebagai rahsia tanpa jawapan buat selama-lamanya.

Selain identiti Jack The Ripper yang gagal dikenal pasti, perkara lain yang menjadikan pembunuh itu sebagai legenda kejahatan dalam sejarah ialah corak pembunuhan dilakukannya amat mengerikan iaitu mangsa disembelih, dilapah, tubuh dibelah dan organ dalaman dikeluarkan.

Mangsa Jack hanyalah lima pelacur walaupun ada pendapat mengatakan jumlahnya lebih daripada itu, manakala tempoh jenayahnya kira-kira tiga bulan. Bagaimanapun, kekejaman dan misteri yang menyelubungi pembunuhannya membuatkan kes itu terus popular hingga kini.

LIMA wanita mangsa pembunuhan kejam sekitar London pada tahun 1888.

Kurang petunjuk

Selama lebih 100 tahun, pengkaji terus berteka-teki mengenai siapa sebenarnya pembunuh yang berselindung di sebalik gelaran Jack The Ripper dan mengapa dia hanya membunuh selama tiga bulan serta lima mangsa sebelum menghentikan jenayah itu?

Tidak banyak petunjuk konkrit bagi menjejaki pembunuh itu, tambahan pula sains forensik masih belum maju untuk digunakan bagi mengaitkan mana-mana penjenayah dengan kes terbabit ketika itu.

Misteri itu bermula 6 Ogos 1888 apabila pelacur, Martha Tabram, 39, ditemui mati di George Yard dengan mayatnya ditikam 39 kali pada leher dan kemaluan. Bedah siasat mendapati lehernya turut dikelar dan perutnya dibelah.

Sekitar jam 4 pagi pada 31 Ogos 1888 pula, mayat seorang lagi mangsa, Mary Ann Nichols, 42, ditemui di Whitechapel dengan leher dikelar, perutnya dibelah dan kesan luka terdapat di banyak bahagian badan. Lapan hari kemudian, penduduk Whitechapel sekali lagi gempar apabila mayat seorang lagi pelacur, Annie Chapman dijumpai dalam keadaan mengerikan, kira-kira jam 6 pagi.

Pakar bedah mengandaikan Annie mati dua jam sebelum ditemui dan mendapati sebahagian kulit perut mangsa berada di bahu, manakala lehernya dicekik sebelum dikelar. Rusuknya dibelah, isi perut dan organ dikeluarkan dan diletakkan di bahu mangsa. Sebahagian kemaluannya juga dipotong.

Mangsa keempat dan kelima Jack dijumpai pada hari sama iaitu 30 September. Elizabeth Stride, 45, ditemui terbaring berlumuran darah di Dutfield Yard kira-kira jam 1 pagi dengan leher dikelar. Pada malam itu pula, polis sekali lagi dikejutkan dengan penemuan mayat Catherine Eddowes, 46, yang ditemui terbaring berlumuran darah, lehernya dikelar, tubuhnya dibelah dari dada ke kelangkang, manakala isi perutnya terburai.

Buah pinggang kiri Eddowes juga dikeluarkan, rahimnya dipotong, mukanya cedera teruk, kelopak mata kanannya dipotong, hidung dan telinganya hampir putus.

KISAH pembunuh bersiri yang dikenali sebagai 'Jack The Ripper' terus misteri dan menjadi legenda kejahatan hingga kini.

Beri gelaran sendiri

Gelaran 'Jack The Ripper' digunakan sendiri pembunuh dalam surat yang dihantarnya kepada agensi berita Central News pada 27 September 1888. Sebelum itu, media menggelarkan penjenayah sebagai 'Pembunuh Whitechapel'.

Dalam surat yang dihantar itu, Jack menceritakan keadaan ketika dia membunuh mangsa.

Pada 9 November 1888, Jack membunuh mangsa terakhirnya, Mary Kelly, 25, dan mayatnya ditemui di Jalan Dorset dalam keadaan berbogel, seluruh kulit perut dan paha dilapah, manakala isi perutnya dikeluarkan.

Buah dada mangsa dipotong, lengan luka parah, isi perut bertaburan dengan buah pinggang dan usus serta satu buah dadanya ditemui berhampiran kaki kanan, manakala kulit perut dan paha yang dilapah berada di atas meja. Jantung mangsa dipercayai diambil pembunuh.

Daripada beratus suspek, polis mengenal pasti beberapa individu sebagai Jack the Ripper.

Suspek paling disyaki ialah Dr Montague John Druitt yang dikatakan gila seks. Pengamal perubatan itu ditemui mati di Sungai Thames pada 31 Disember 1888 iaitu selepas pembunuhan terakhir Jack The Ripper.

Seorang lagi yang disyaki ialah George Chapman yang memiliki rekod keganasan terhadap isteri dan kekasihnya, malah dikaitkan dengan pembunuhan tiga wanita, termasuk dua isterinya. Dia dihukum gantung pada 7 April 1903 kerana meracuni isteri keduanya.

Polis percaya Chapman adalah pembunuh kerana tarikh kedatangan lelaki itu ke England bertepatan dengan bermulanya kes pembunuhan dan jenayah itu terhenti seketika apabila Chapman ke Amerika Syarikat.

Sebaliknya, kes pembunuhan sama berlaku pula di Amerika Syarikat iaitu pada 24 April 1891 apabila seorang wanita, Carrie Brown ditemui mati dibunuh dengan kejam di New Jersey. Mangsa dicekik dan tubuhnya dicederakan dengan teruk. Chapman juga pernah mengikuti pengajian perubatan dan pembedahan di Russia.

Bayangan Jack The Ripper akhirnya lenyap pada 1889 apabila polis mengesahkan pembunuhan sudah berakhir. Tanpa perkembangan memberangsangkan, kes siasatan Jack The Ripper ditutup pada 1892, tetapi misterinya menyebabkan gelaran itu terus menjadi legenda kejahatan hingga kini.

Berita Harian X