Selasa, 21 April 2015 | 10:35am

13 remaja ditahan samun kedai serbaneka

M Chandra (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang berjaya dirampas dalam kes geng samun remaja di kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Tiga belas remaja berusia belasan tahun adalah antara 15 individu yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan samun beberapa kedai serbaneka 24 jam sekitar bandar raya ini dan Penampang.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, dalam sidang media di sini, sebentar tadi, berkata semua suspek berusia 15 hingga 28 tahun termasuk lima perempuan disyaki mendalangi beberapa kes samun kedai serbaneka termasuk yang terakhir pada jam 5.50 pagi di Jalan Padang dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, dua daripada suspek bersenjatakan pisau menyamun kedai serbaneka terbabit sebelum melarikan diri bersama beberapa rakan mereka yang menunggu dalam sebuah PROTON Wira.

M Chandra (kanan) menunjukkan dua buah kereta milik ibu dan bapa ketua kumpulan yang berjaya dirampas dalam kes geng samun remaja di kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Mereka bagaimanapun dikesan 20 minit kemudian di Jalan Bukit Bendera oleh polis susulan maklumat, namun kumpulan remaja itu memecut kenderaan dan dikejar dengan kereta peronda polis selama kira-kira 45 minit.

"Semua suspek berjaya ditahan selepas kereta mereka hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di Taman BDC, Kolombong," katanya.

Berikutan itu, polis menahan tujuh suspek termasuk empat perempuan dalam kenderaan terbabit, selain merampas wang tunai RM38, empat bungkus coklat dan sebilah pisau yang dipercayai disamun daripada kedai serbaneka berkenaan.

Penahanan tujuh suspek itu membawa kepada tangkapan lapan suspek lain di lokasi berasingan dan polis merampas beberapa lagi barangan antaranya sebuah kereta, telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa jam tangan.

Difahamkan kumpulan remaja berkenaan disyaki terbabit dalam beberapa kes samun kedai serbaneka 24 jam sekitar Api-Api, Jalan Bandaran dan Penampang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata secara berkumpulan.

Berita Harian X