Khamis, 23 April 2015 | 12:05am
FELCRA Lubuk Sireh yang menjadi lokasi popular PATI menceroboh masuk di Padang Besar, Perlis.
PEMERIKSAAN Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Padang Besar.
PEMERIKSAAN Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Padang Besar.

'Pintu' sepanjang 150 km terbuka buat PATI


KUALA LUMPUR: Sempadan Malaysia-Thailand yang tidak berpagar di Padang Besar, Perlis, dikesan menjadi lokasi popular untuk pendatang tanpa izin (PATI) terutama dari Myanmar dan Bangladesh memasuki negara ini secara haram.

Pencerobohan terus berlaku meskipun kawasan itu diletak di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kawasan sempadan sepanjang lebih 150 kilometer (km) dari Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kelantan tidak berpagar kerana hutan tebal dan bukit batu.

Di Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis, kawasan pilihan untuk bolos sempadan adalah di kawasan Tangga Seratus berhampiran Wang Burma kerana lebih enam kilometer sempadannya tiada pagar keselamatan.


FELCRA Lubuk Sireh yang menjadi lokasi popular PATI menceroboh masuk di Padang Besar, Perlis.

Seorang anggota risik di sempadan Perlis-Thailand, Jamal (bukan nama sebenar), berkata jalan keselamatan berturap di Wang Kelian berakhir di Tangga Seratus, manakala tembok sempadan pula akan berakhir di puncak tangga itu.

"Selepas Tangga Seratus, tiada lagi tembok sempadan sebab ada bukit berbatu sehingga ke Wang Burma yang jaraknya kira-kira enam setengah kilometer. Di sini tidak ada tembok. Antara bukit batu itu, ada kawasan rendah yang boleh dilalui PATI atau turut digunakan untuk penyeludupan.

"Sebaik PATI melepasinya, ada kawasan seluas kira-kira satu kilometer yang tidak dipantau langsung. PATI boleh bebas berada di situ kerana PGA juga tidak masuk kawasan berkenaan. Itu kawasan hutan tebal.

"Selepas lokasi itu, ada satu kawasan seluas dua kilometer yang diwartakan sebagai kawasan Ops Wawasan di bawah kawalan PGA. Bagaimanapun, ia sangat luas dan amat sukar dipantau. Kebanyakan PATI sedar laluan itu selamat, mereka boleh melepasinya dan terus ke jalan besar," katanya.


PAGAR di UniMAP dibocorkan PATI untuk menceroboh masuk di sempadan Perlis.

Pergerakan PATI diuruskan oleh sindiket atau tonto sama ada dalam kalangan penduduk tempatan atau rakan PATI sendiri yang sudah berada di Malaysia dan mahir selok-belok laluan itu.

Jamal berkata, lazimnya tonto menunggu dengan kereta di jalan besar itu untuk mengangkut PATI terus ke Kangar atau Alor Setar, tanpa melalui pemeriksaan atau sekatan jalan raya.

"Sebuah kereta disumbat sehingga berbelas orang. Mereka tak perlu risau kerana sudah lepas kawasan sekatan jalan raya. Selalunya, tonto ambil PATI di kawasan pagar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selepas mereka keluar dari FELCRA Lubuk Sireh, selalunya pada tengah malam.

"Kami sering menahan kereta tonto dan kebanyakan mereka adalah pendatang asing juga. Mereka sudah lama di sini dan tahu selok-belok kawasan itu," katanya.


ANGGOTA risik di Padang Besar, Perlis.

Wartawan BH turut dibawa beberapa anggota pasukan keselamatan meninjau lokasi penangkapan 53 PATI di FELCRA Lubuk Sireh pada 1 Mac lalu. Kawasan ladang getah itu memang menjadi laluan popular tonto dan sindiket penyeludupan manusia.

Seorang anggota penguat kuasa, Borhan (bukan nama sebenar), berkata dari kawasan sempadan tidak berpagar di Wang Kelian, PATI mengambil masa tiga jam hingga lima jam sebelum tiba di kawasan transit.


TEROWONG jalan tempat PATI bersembunyi sementara menunggu isyarat untuk meneruskan perjalanan.

Di kawasan transit itu, PATI bersembunyi dalam terowong jalan, sementara menunggu isyarat untuk meneruskan perjalanan ke kawasan pagar UNIMAP, yang boleh mengambil masa lebih sejam.

Dari situ, mereka akan diambil tonto lain yang sedia menunggu untuk dihantar ke destinasi masing-masing yang sudah ditentukan sebelum kedatangan PATI itu ke negara ini.

SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA DAN TONTO DI SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND TURUT MENGGUNAKAN SENJATA API UNTUK MENGUGUT ANGGOTA KESELAMATAN DAN KELUARGA MEREKA. IKUTI SIRI KETIGA PENCEROBOHAN SEMPADAN NEGARA DALAM BH, ESOK.

Berita Harian X