Khamis, 23 April 2015 | 3:46pm
ABDUL Aziz Kaprawi ketika sidang media pada majlis perasmian Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Rompin di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak Keratong, Rompin. - Foto Asyraf Hamzah

Nahas helikopter: Analisis rakaman kotak hitam dijangka selesai 1-2 bulan lagi

ROMPIN: Sejumlah 400 parameter rakaman data kotak hitam helikopter yang terhempas di Semenyih, 4 April lalu, yang meragut enam nyawa, termasuk Tan Sri Jamaluddin Jarjis, masih perlu dianalisis.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata analisis rakaman data kotak hitam itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua bulan lagi.

"Ada 400 parameter lagi yang harus dianalisis dan kami akan hantar ke Paris, Peranchis iaitu negara yang membuat helikopter itu untuk analisis yang lebih mendalam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Rompin di Bandar Tun Razak, Keratong, kira-kira 127 kilometer dari Kuala Rompin, di sini, hari ini.

Helikopter Dauphin pada masa ini dikeluarkan syarikat Airbus. Pada asalnya, ia dibangun dan dikeluarkan oleh firma Peranchis Aérospatiale, yang kemudian bergabung dengan syarikat multinasional Eurocopter pada 1990-an.

Abdul Aziz berkata, laporan interim helikopter itu akan dikeluarkan dalam masa setahun.

Dalam kejadian 4 April lalu, Jamaluddin, bekas Ahli Parlimen Rompin bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut, juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. - BERNAMA

Berita Harian X