Khamis, 23 April 2015 | 7:09pm
SETIAUSAHA SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh. - Foto Supian Ahmad

SPR minta polis hentikan ceramah tanpa kebenaran

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta bantuan polis untuk memberhentikan ceramah calon atau parti politik yang tidak mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Daerah sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata sehubungan itu, pihaknya menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh berkempen selaras dengan peruntukan Seksyen 27B Akta 5 Fungsi PP-KPR di bawah Seksyen 27E Akta 5.

"Selain permit ceramah, pasukan penguat kuasa juga akan membuat rondaan dan memantau aktiviti berkempen oleh calon atau ejen pilihan raya dan parti politik serta menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta 5," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Ghani juga berkata, pada hari penamaan calon Sabtu ini, SPR hanya membenarkan 100 wakil bagi setiap calon yang ingin bertanding masuk ke kawasan dewan penamaan calon.

Katanya, tempat penamaan calon akan dibuat di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dan tempoh masa penamaan calon bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Abdul Ghani berkata, sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk mengundi dua kali oleh mana-mana pengundi tidak bertanggungjawab, dakwat pilihan raya akan digunakan dalam PRK Permatang Pauh pada hari pengundian awal iaitu 3 Mei dan pengundian biasa pada 7 Mei ini.

"Untuk PRK ini, SPR tidak lagi menggunakan kaedah mencalit seperti yang digunakan semasa pilihan raya umum ke-13, sebaliknya pengundi perlu mencelup jari mereka ke dalam dakwat pilihan raya," katanya.

Abdul Ghani berkata, bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman dan harmoni tanpa sebarang gangguan, semua pihak, termasuk pemimpin parti politik, calon bertanding, penyokong, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei. - BERNAMA

Berita Harian X