Jumaat, 24 April 2015 | 1:02pm

Kemelut PAS-PKR cerahkan peluang BN

CALON BN, Suhaimi Sabudin (tengah) beramah mesra bersama penduduk, Said Din Puteh, 76, ketika bertemu di Masjid Haji Saad, Tanah Liat, Bukit Mertajam, hari ini. - Foto Mikail Ong

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sekiranya kemelut antara PAS Permatang Pauh dengan PKR masih gagal diselesaikan.

Calon BN di PRK Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin, berkata beliau yakin ahli PAS Permatang Pauh lebih matang dan bijak untuk memilih wakil rakyat yang berkelayakan.

"Saya menjangkakan ahli PAS akan menyokong kita. Pada dasarnya, mereka tahu siapa yang lebih layak untuk mewakili Permatang Pauh.

"Ahli PAS Permatang Pauh juga bukan musuh kita. UMNO dan BN tidak pernah ambil pendekatan untuk bermusuh dengan rakyat. Insya-Allah, kita akan turun padang dan bertemu semua, tanpa mengira fahaman politik atau agama," katanya ketika ditemui selepas proses dokumentasi borang pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan PAS Permatang Pauh yang mahu PKR memohon maaf atau menarik balik kenyataan biadap terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkaitan isu hudud.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan dilaporkan berkata PKR perlu berbuat demikian sebelum hari penamaan calon esok, atau jentera PAS Permatang Pauh tidak akan digerakkan untuk membantu kempen calon PKR.

Berita Harian X