Sabtu, 25 April 2015 | 7:26am

Penting tahu perkembangan ekonomi

Dari semasa ke semasa, apabila perlu, Kunta Kinte akan cerita pengalaman dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sama ada yang Kunta Kinte alami sendiri atau dengar daripada pengguna lain. Ini penting dalam usaha kita hendak fahami kesan cukai baharu itu ke atas kos sara hidup.

Moga-moga dengan itu bolehlah kita jimat cermat, atur balik keutamaan perbelanjaan, cari tempat yang serap atau tak kenakan GST dan elak daripada kena tipu. Ada juga peniaga yang daftar jadi ejen GST tapi tak kenakan cukai itu. Mereka serap kos cukai. Tapi mereka wajib bayar juga kepada kerajaan.

Kunta Kinte rasa mereka dapat balik semua atau sebahagian duit GST yang mereka bayar kepada kerajaan dengan cara menaikkan harga sana sini atau kurangkan kuantiti barang. Tapi cara ini hanya kedai besar yang jual banyak jenis barang dan dalam jumlah yang tinggi saja boleh buat.

Baru-baru ini Kunta Kinte terima surat daripada syarikat insurans yang Kunta Kinte beli polisi kesihatan. Surat itu bagi tahu, Kunta Kinte kena bayar GST 6 peratus ke atas premium insurans. Kos bulanan bagi insurans berkaitan pelaburan serta (riders) untuk semua kategori rawatan kena 6 peratus lagi. Kemudian semua yuran dan bayaran berkaitan urusan pentadbiran insurans, contohnya tuntutan insurans, pun kena GST juga.

Maksudnya dari masa beli insurans sampai guna insurans kita kena bayar GST tiga kali yang jumlahnya 18 peratus. Kemudian jumpa pakar kena 6 peratus. Masuk wad 6 peratus. Ubat 6 peratus. Itu pun belum tahu kita hidup atau mati.

Pada 22 April, media atas talian petik Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris, kata dia kena bayar GST RM1,200 ke atas RM20,000 kos rawatan anaknya yang sakit saraf dan tulang belakang bengkok. Bayaran lain akan menyusul. Jadi wakil rakyat Barisan Nasional itu kata, dia fahamlah beban dan keluhan rakyat jelata.

Kemudian seorang pemandu yang menderita kencing manis bagi tahu Kunta Kinte, harga ubat yang dia makan RM72 dan naik jadi RM76.32 kerana GST. Di Malaysia ni ramai kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. Dia merungut. Kunta Kinte kata kepada dia, jangan marah sampai tekanan darah naik takut kena strok pula.

Kenyataan merapu

Tapi ada orang yang jaga hal GST dalam kerajaan dan sektor swasta yang buat orang ramai tambah sakit hati dengan kenyataan merapu. Mereka ini sangka mereka cerdik dan rakyat jelata bodoh. Satu hal lagi hal buat kita susah hati ialah nilai duit kita yang makin jatuh. Ini pun kita kena ambil tahu pasal negara kita negara perdagangan dan banyak orang kita yang ada tanggungan di luar negara.

Ahli ekonomi selalu kata, bila nilai duit jatuh harga eksport turun jadi orang luar minat beli lebih banyak barang keluaran kita. Itu betul. Tapi bila kita nak beli dari luar negara harga import naik.

Macam Kunta Kinte dah selalu kata, kita import banyak bahan makanan. Di negara kita, bukan manusia saja makan makanan import. Ayam, itik, kerbau, lembu, babi, kucing dan anjing pun makan makanan import juga. Tiap-tiap tahun kita import lebih kurang RM22 bilion bahan makanan. Bila nilai duit kita jatuh harga import naik. Campur GST lagilah mahal.

Ibu bapa yang hantar anak-anak belajar di luar negara dengan duit poket sendiri fahamlah hal ini. Kunta Kinte boleh kata pakar juga sebab Kunta Kinte tanggung sendiri pelajaran anak-anak Kunta Kinte di luar negara. Alhamdulillah ada rezeki lebih. Kunta Kinte ambil contoh ibu bapa yang kena hantar AS$1,000 sebulan. Kalau setahun lalu mereka kena tukar RM3,240 untuk dapat AS$1,000. Tapi sebab nilai duit kita jatuh, mereka kena sediakan RM3,630 pada awal bulan ini. Dah kena tambah RM390 sebulan.

Kemudian pasal hantar atau pindah duit ke luar negara. Selalunya bila kita hantar atau pindah duit ke luar negara, kita tak hantar atau pindahkan duit secara fizikal tak macam masa ke Makkah bila kita simpan duit fizikal dalam tali pinggang besar yang kita pakai siang malam takut orang curi.

Kita hantar atau pindah duit dengan buat ikat janji. Kita bagi duit tunai kepada bank atau penukar wang. Bank akan guna komunikasi telegraf untuk hantar jumlah yang dijanjikan. Kaedah ini kita panggil telegraphic transfer (tt) iaitu pemindahan telegraf atau elektronik.

Ramai tak faham urusan bank global

Duit yang kita bagi kepada bank itu kekal di Malaysia. Yang dihantar adalah kontrak. Bank di Malaysia ada perjanjian dengan bank di luar negara. Bila penerima nak ambil duit, bank tempatan akan tolak daripada akaun bank Malaysia. Inilah urusan bank global yang orang kebanyakan tak faham. Cara ini mudahkan keluar masuk duit, tak kira di mana kita berada, melalui kad kredit atau kad debit di mesin juruwang automatik atau automated teller machine (ATM).

Apatah lagilah bila jumlah yang hendak pindahkan atau dihantar itu berbilion-bilion ringgit. Kita tentulah tak pindahkan duit sebenar melainkan kita penyeludup atau duit itu duit haram yang kita nak sembunyi daripada pengetahuan Bank Negara, Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bayangkan kapal laut atau kapal terbang bawa lima enam bilion ringgit. Bukan saja berat tapi bahaya. Mesti ada penjahat yang cuba rampas.

Pendek kata, orang yang ditugaskan bagi penerangan kepada rakyat jelata kenalah pakar, ikhlas, telus dan pandai berkomunikasi. Sekarang tak boleh main 'kelentong-kelenting'. Ramai rakyat jelata dah pandai dan mereka ada macam-macam sumber maklumat. Kena fikir dalam-dalam sebelum buat kenyataan. Kalau tidak orang gelak dan mereka malu. Itu pun kalau tahu malulah. Wallahuaklam.

E-mel ke [email protected] untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X