Sabtu, 25 April 2015 | 10:38am

PRK Permatang Pauh saingan 4 penjuru BN-PKR-PRM-Bebas

(DARI kiri) Salleh Isahak (bebas), Azman Shah Othman (PRM), Suhaimi Sabudin (BN) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh di IKBN, Bukit Mertajam. - Foto Mikail Ong

BUKIT MERTAJAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Rakyat Malaysia (PRM) serta seorang calon Bebas.

Pengesahan nama calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jusni Ismail di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, sebentar tadi.

BN diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin, manakala PKR diwakili Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Turut bertanding dalam PRK itu ialah ahli calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman dan calon Bebas, Salleh Isahak.

Sementara itu, seorang lagi calon Bebas, Dr Abdullah Zawawi yang pada mulanya mengemukakan borang pencalonan kepada SPR pada jam 9.08 pagi, memutuskan untuk membatalkan pencalonannya beberapa minit kemudian selepas mengetahui terdapat dua calon lain selain BN dan PKR mengambil bahagian.

Calon BN mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Dr Wan Azizah dan Azman Shah pada jam 9.05 pagi manakala Salleh pada jam 9.08 pagi.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel; Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong serta barisan kepimpinan UMNO dan BN Pulau Pinang.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

SPR menetapkan 7 Mei depan sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh manakala pengundian awal pada 3 Mei ini.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.

Pada 16 Mac lalu, Lembaga Pengampunan Diraja menolak rayuan anak dan isteri Anwar yang didapati bersalah dan dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan 10 Mac lalu kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. '

Sehubungan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Berita Harian X