Sabtu, 25 April 2015 | 7:34pm

MIC sasar 3,000 undi India di PRK Permatang Pauh

DARI kiri: Calon Bebas, Salleh Isahak, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia), Suhaimi Sabudin (BN) dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) melambaikan tangan selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Permatang Pauh di IKBN, Bukit Mertajam hari ini. - Foto Danial Saad

PETALING JAYA: MIC akan bekerja keras untuk menyumbang minimum 3,000 undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini, kata Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

"Terdapat 4,830 pengundi India di sana.. sebahagian besar pengundi India adalah di Seberang Jaya dan ada lebih 500 pengundi masing-masing di lima daerah mengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran kerjaya di sini, hari ini.

Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata kira-kira 500 orang dari kesemua 23 cawangan parti dalam bahagian MIC di Permatang Pauh ditugaskan di lapangan.

Pilihan raya itu akan menyaksikan Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Ishak (Bebas) terbabit dalam pertandingan empat penjuru.

PRK Permatang Pauh diadakan setelah kerusi itu kosong selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon wakil rakyat itu.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. - BERNAMA

Berita Harian X