Ahad, 26 April 2015 | 12:05am
SYATILLA atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24. - Foto Aziah Azmee

Syatilla Melvin tidak gemar stiletto


KUALA LUMPUR: Mungkin agak pelik bagi golongan wanita yang tidak gemar menyarung kasut tumit tinggi (stiletto) sebagai pelengkap gaya. Kasut tumit tinggi secara jelas menjadi satu keperluan bagi insan bernama wanita. Lihat sahaja pelbagai jenama mewah atau biasa di pasaran yang menjadi perhatian hingga membuatkan golongan wanita ini jadi rambang mata.

Tapi pelakon Syatilla Melvin yang kini dikaitkan dengan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, Shaheizy Sam, mengakui kurang gemar memakai kasut bertumit tinggi kerana lebih selesa bergaya santai saja. Barangkali ketinggian yang dimilikinya juga membuatkan dara manis kelahiran Parit Buntar, Perak ini selesa memakai kasut tanpa tumit.


SYATILLA kurang gemar memakai kasut bertumit tinggi kerana lebih selesa bergaya santai. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya bukan perempuan yang suka memakai kasut tumit tinggi. Kalau bukan kerana kerja memang saya tidak akan memakai kasut tumit tinggi kerana kalau keluar bersiar-siar pun saya akan memakai 'flats' atau kasut biasa saja.

"Bagi saya kasut biasa sebegini lebih senang bergerak jika dibandingkan dengan kasut tumit tinggi. Saya cuba juga untuk membiasakan diri memakai kasut tumit tinggi tetapi memang tidak boleh," kata gadis berdarah kacukan Melayu Jepun ini kepada BH PLUS.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, juga tidak mementingkan jenama sebaliknya selesa menggayakan barangan yang cantik di matanya.

Pelakon jelita bertubuh tinggi lampai ini juga enggan berhabis wang yang banyak untuk mengejar jenama semata-mata. Bagi Syatilla, cantik itu subjektif pada pandangan mata setiap individu.


SYATILLA percaya tanggapan berdasarkan penilaian luaran itu tidak relevan kerana sewajarnya si penilai cuba mendekati dan mengenali diri seseorang itu terlebih dulu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Bagi saya cantik bukan pada jenama yang mahal sebaliknya pada barangan itu sendiri. Bagi saya cantik itu bergantung kepada kemampuan masing-masing. Malah beg tangan yang saya pakai ini pun daripada jenama kebanyakan.

"Saya bukan jenis yang sanggup berhabis wang beribu-ribu untuk membeli barang berjenama. Bagi saya, daripada membeli sepasang kasut yang mahal lebih baik saya membelanjakan wang itu membeli dua atau tiga kasut.

"Namun saya tidaklah menghakimi mereka yang gemar membeli barang berjenama kerana itu adalah lumrah kaum wanita. Ada juga barang saya yang berjenama tetapi bukan semua," katanya.

Model langsing ini juga berkata, tanggapan berdasarkan penilaian luaran itu tidak relevan kerana sewajarnya si penilai cuba mendekati dan mengenali diri seseorang itu terlebih dulu sebelum membuat kesimpulan.


SYATILLA enggan berhabis wang yang banyak untuk mengejar jenama semata-mata. - Foto Aziah Azmee

Lumrah bergelumang dunia popular, Syatilla sedar pasti banyak mata yang memandang. Justeru, tidak mustahil ada yang kurang senang dan mula mencari kesalahan untuk menjatuhkannya.

Dalam perkembangan lain, Syatilla giat melebarkan kerjaya seninya dan sibuk menjalani penggambaran drama bertajuk Dia Isteri Luar Biasa yang bakal ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.


BAGI Syatilla, cantik itu subjektif pada pandangan mata setiap individu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Info Syatilla Melvin

  • Pernah menyertai Dewi Remaja 2010 yang turut disertai Neelofa, Anzalna dan Ramona Zamzam
  • Pernah digosipkan dengan Syazwan Zulkifly
131 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »