Ahad, 26 April 2015 | 5:30pm

Kemelut PAS, PKR bukan faktor utama nilai kekuatan BN

TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto Danial Saad

BUKIT MERTAJAM: Kemelut antara PAS kawasan Permatang Pauh dan PKR tidak akan menjadi faktor utama kepada UMNO bagi mengukur kekuatan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata apa yang lebih penting kepada parti itu buat masa ini adalah menggunakan kekuatan sedia ada untuk merampas semula kerusi itu.

"Biasalah, bila kita masuk gelanggang kita kena lihat kekuatan kita dan pada masa yang sam,a kita juga kena tahu kekuatan musuh. Tetapi dalam hal ini yang menjadi lebih utama adalah kekuatan kita.

Sama ada mereka (pembangkang) buat pusingan U ker atau O, ia bukan faktor utama kita. Biar rakyat yang menilai. Seperti Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebutkan sebelum ini, kita sebagai 'underdog' (bukan pilihan), jadi kita kena berkelakuan seperti 'underdog'.

"Kita kena lebih merendah diri, turun ke bawah jumpa masyarakat, merayu mereka untuk beri peluang kepada BN kali ini," katanya mengulas tindakan PAS kawasan Permatang Pauh yang membuat 'pusingan U' apabila melancarkan jentera pilihan raya mereka malam tadi untuk memberi sokongan penuh kepada calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isu sokongan PAS terhadap calon PKR pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh timbul apabila PAS kawasan Permatang Pauh meluluskan usul menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud. PAS juga mahu PKR memohon maaf secara terbuka untuk mendapat sokongan PAS kawasan itu pada PRK berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow, menyifatkan kemelut itu sebagai wayang politik antara PAS dan PKR.

Beliau berkata, kemelut yang melanda itu menggambarkan parti komponen (PAS-DAP-PKR) dalam pakatan rakyat gagal menyelesaikan sesuatu isu berbangkit walaupun mereka berada dalam kelompok yang kecil.

"Satu gabungan politik dengan tiga parti sahaja, itu pun tak boleh bersetuju atas isu dasar. Apatah lagi dalam BN ada 14 parti...kita ada bertengkar tapi untuk kepentingan dan keperluan rakyat kita boleh berkompromi bagi menghasilkan satu keputusan mewakili semua," katanya.

Teng turut menyeru rakyat untuk melihat semula kemampuan gabungan ketiga-tiga parti itu dalam memerintah negara apabila isu kecil pun masih gagal menemui jalan penyelesaian. - BERNAMA

Berita Harian X