Selasa, 28 April 2015 | 12:18am
30 peratus bayi berusia satu tahun di Amerika sudah terbiasa menggunakan tablet serta telefon pintar. - Gambar hiasan

Gajet rosakkan hubungan anak, ibu bapa

MEMBERI gajet seperti telefon pintar dan tablet kepada kanak-kanak kini sudah menjadi kelaziman bagi kebanyakan ibu bapa atau penjaga. Mereka berpendapat, pemberian gajet mampu merangsang pemikiran anak selain membuatkan anak kecil keriangan dan berhenti menangis.

Akibatnya, kanak-kanak berkenaan menghabiskan masa berjam-jam untuk meneroka segala aplikasi pembelajaran dan permainan dalam gajet berkenaan.


PENGGUNAAN keterlaluan gajet secara berterusan memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi dan sahsiah kanak-kanak. - Gambar hiasan

Satu kajian yang dijalankan oleh Pediatric Academic Societies menunjukkan 30 peratus bayi berusia satu tahun di Amerika sudah terbiasa menggunakan tablet serta telefon pintar dan secara keseluruhan, sebanyak 36 peratus bayi usia di bawah lima tahun mempunyai kebiasaan seperti ini.

Selain itu, sebanyak 36 peratus bayi berusia dua tahun menggunakan gajet miliknya untuk bermain permainan video dan setelah berusia dua tahun, kecenderungan untuk menggunakan tablet dan telefon pintar, menurun.

Alasan utama ibu bapa memberi telefon pintar dan tablet kepada anak adalah supaya aktiviti ibu bapa tidak terganggu. Selain itu, 65 peratus ibu bapa mengaku memberikan gajet supaya anak mereka lebih mudah dikawal, manakala 29 peratus ibu bapa menggunakan kemudahan itu untuk memudahkan anak mereka tidur.

Persoalannya, apakah ibu bapa atau penjaga sedar akan implikasi buruk gajet kepada kanak-kanak, terutama bagi mereka yang berusia tujuh tahun dan ke bawah?

Ketua Kluster Kesihatan Kanak-kanak, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Zabidi Azhar Mohd Hussin, berkata jika didedahkan terlalu awal dan dalam tempoh yang lama terhadap gajet, ia akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, bersesuaian dengan usia.

Katanya, sikap kanak-kanak apabila berjumpa sesuatu yang menarik dan seronok seperti gajet, mereka akan alpa dan tidak akan berhenti menggunakan kemudahan itu.

"Saya ada satu kes, membabitkan seorang bayi berusia 15 bulan. Dia akan sentiasa buat perangai dan menangis setiap kali di rumah atau bangun dari tidur atau ketika makan kerana mahukan gajet. Dia terlalu asyik dengan gajet untuk menonton video dan bermain permainan video.

"Sepatutnya , dalam usia begini, bayi atau kanak-kanak ini perlu meneroka persekitarannya. Dia harus mempelajari setiap yang berlaku di sekelilingnya secara fizikal. Sepatutnya dia berjalan ke sana-sini, memanjat atau melakukan aktiviti normal lain yang dilakukan kanak-kanak seusianya," katanya sambil menambah ibu bapa bayi itu memberikan anaknya gajet kerana mahu mengawal tindakan kanak-kanak itu.


IBU BAPA sering memberi anak gajet kerana percaya ia mampu merangsang pemikiran anak selain membuatkan anak kecil keriangan dan berhenti menangis. - Gambar hiasan

Prof Zabidi Azhar mengakui kanak-kanak boleh mempelajari sesuatu yang baik menggunakan aplikasi pada gajet, bagaimanapun ia tidak membantu perkembangan minda dan tumbesaran kanak-kanak secara menyeluruh.

"Tumpuannya akan terhad kepada apa yang ditawarkan gajet itu tetapi tidak kepada benda lain, termasuk bersosial dan berkomunikasi," katanya.

Jelas beliau, perkara paling penting dalam membesarkan anak adalah interaksi manusia, yang mana kanak-kanak akan mengikut tingkah laku, percakapan, mendengar setiap pertuturan dan perbuatan orang dewasa.

"Ini akan menjadi satu rakaman kepada mereka yang dapat dipraktikkan apabila mereka meningkat dewasa, membentuk peribadi mereka. Jika hanya tertumpu kepada gajet, perkara ini tidak dapat berlaku.

"Ini mewujudkan sosialisasi yang agak terhad antara manusia. Hubungan dengan saudara-mara akan terjejas. Jika kita lihat situasi kini, bila kanak-kanak datang ke rumah saudara, sudah tiada perbualan atau berkumpul bersama saudara. Semuanya sibuk dengan gajet masing-masing dan jika ada pun, berkumpul untuk bermain gajet.

"Tiada lagi seperti zaman dulu, keluar bermain di luar rumah bersama saudara. Kesihatan juga akan terjejas. Mereka tidak dapat satu pengalaman pengembaraan dalam pembesaran," katanya.


65 peratus ibu bapa mengaku memberi gajet kepada anak memudahkan mereka dikawal. - Gambar hiasan

Penggunaan keterlaluan gajet secara berterusan memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi dan sahsiah kanak-kanak, jika tidak dikawal akan menyebabkan kanak-kanak berada dalam kelompok dunia sendiri menyebabkan mereka bersikap antisosial.

Katanya, penggunaannya gajet perlu untuk tujuan akademik tetapi bukanlah sebagai pengganti interaksi kehidupan sosial manusia.

Prof Zabidi Azhar turut menyatakan orang ramai perlu mengetahui asas perkembangan kemahiran sosial dan bahasa kanak-kanak.

"Jika dirasakan anak senang dikawal dengan memberikan gajet, anda silap. Ada banyak kaedah untuk mengatasinya dan ini bergantung kepada kreativiti ibu bapa itu sendiri. Jika anak mahukan bermain gajet, alihkan pandangan mereka. Bermain bersama mereka, cipta suasana yang membuatkan mereka berminat untuk menerokai dunia sesuai dengan usia mereka.

"Asas utama adalah perhubungan dengan manusia, bukan dengan teknologi atau gajet. Jangan gantikan perhubungan sosial antara ibu bapa dan anak dengan gajet kerana ini adalah asas kematangan kanak-kanak," katanya.


PENGGUNAAN gajet yang keterlaluan boleh menjejaskan hubungan sosial antara ibu bapa dan anak. - Gambar hiasan

Info: Gajet yang selalu digunakan
* iPad
* iPod
* Tablet
* Telefon pintar
* Komputer riba

Apa yang sering diberikan ibu bapa kepada anak mereka
* Menonton video kartun atau nyanyian kanak-kanak
* Permainan video untuk kanak-kanak
* Membaca e-book

* Ikuti kesan gajet kepada masalah obesiti dan kesihatan kanak-kanak dalam BH PLUS, esok.

690 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »