Selasa, 28 April 2015 | 7:48am

Isu hudud uji pendirian akar umbi PAS Permatang Pauh

Berbanding Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Rompin pada 7 Mei ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional dan PAS, perhatian tentunya lebih bertumpu kepada PRK Permatang Pauh, dua hari sebelum itu.

Selain menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan semula Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pertandingan empat penjuru, perkembangan dalam pakatan pembangkang, sama ada perbalahan antara DAP dan PAS atau pergolakan dalaman PKR sendiri, menjadikan PRK Permatang Pauh lebih dramatik berbanding Rompin.

Dr Wan Azizah, yang mengosongkan kerusi itu pada tahun 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan dengan calon BN Suhaimi Sabudin; calon Bebas, Salleh Ishak dan Azhar Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

PRK Permatang Pauh diadakan apabila berlaku kekosongan selepas Anwar, yang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dimohonnya.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi di luar negara. Pada pilihan raya umum lalu, Anwar mengalahkan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan 11,721 undi.

Seperti BN dilihat tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan Rompin yang dianggap kubu kuat UMNO, ramai percaya PKR bakal mengekalkan kerusi Permatang Pauh kerana sejak 1982, hanya Anwar dan isteri silih berganti mewakili kawasan itu termasuk melalui dua PRK sebelum ini.

Pengaruhi majoriti

Bagaimanapun, berikutan beberapa pergolakan dalam pakatan pembangkang terutama berhubung isu hudud PAS yang tidak disokong oleh DAP dan PKR, timbul persoalan apakah Dr Wan Azizah mampu menang dengan majoriti besar kali ini.

Kira-kira 70 peratus pengundi Permatang Pauh adalah Melayu. Sebelum kewujudan PKR, PAS adalah parti pembangkang terkuat di kawasan itu. Tiga daripada empat pilihan raya umum menyaksikan BN yang diwakili Anwar ditentang oleh calon PAS termasuk oleh Timbalan Presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu (1986) dan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (1990).

Hanya pada 1995, DAP meletakkan seorang calon Melayu menentang BN yang masih diwakili Anwar, menyebabkan parti itu kalah teruk iaitu lebih 23,000 undi berbanding hanya belasan ribu undi apabila PAS bertanding.

Malah pada pilihan raya umum lalu, PAS mencatat majoriti paling besar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dalam Parlimen Permatang Pauh, iaitu 6,826 berbanding PKR di dua lagi kerusi ialah DUN Seberang Jaya (2,459 undi) dan DUN Penanti (2,339 undi).

Pergeseran jejas sokongan

Dalam kata lain, tanpa sokongan penuh ahli PAS di kawasan itu, PKR mungkin menghadapi kesukaran untuk mempertahankan Parlimen Permatang Pauh. Kerana itu, sebarang pergeseran antara PAS dan PKR, boleh menjejaskan sokongan kepada Dr Wan Azizah.

Mesyuarat Agung Pas Permatang Pauh pada 19 April lalu mendesak Dr Wan Azizah menarik balik kenyataannya tidak menyokong rang undang-undang hudud. Yang Dipertuanya, Omar Hassan dilaporkan berkata, sebagai penganut Islam, Dr Wan Azizah harus menyokong undang-undang itu, bukannya mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju.

Walaupun Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan isu itu selesai apabila PAS bersetuju untuk turut bersama dalam kempen PRK Permatang Pauh dalam satu mesyuarat dua parti itu malam kelmarin, ia hanya membabitkan persetujuan pemimpin, bukan pada peringkat akar umbi.

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang minggu lalu bahawa parti itu lebih rela tewas dalam pilihan raya daripada menukar pendirian berhubung pelaksanaan hukum hudud pastinya dikongsi oleh sebahagian besar akar umbi PAS.

Akar umbi PAS di Permatang Pauh juga pasti tidak boleh menerima pendirian DAP berhubung hudud. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang tidak hadir pada mesyuarat itu kerana ia adalah antara PAS dan PKR, berkata beliau tidak perlu ulang mengenai isu itu berulang kali.

"...anda tahu apa pendirian kami... kami tidak akan pernah mengubah pendirian kami (berhubung hudud). Pendirian kami jelas. Kami memutuskan hubungan dengan Hadi kerana itu," katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Berita Harian X