Selasa, 28 April 2015 | 9:50pm

Pencapaian sekolah berprestasi tinggi terus cetus hasil - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan GTP dan ETP 2014, di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Ghazali Kori
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan GTP dan ETP 2014, di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Pencapaian Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) antara insiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sedang membuahkan hasil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diumumkan beliau dalam ucapannya semasa melancarkan Laporan Tahunan 2014 GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini malam ini.

Pada tahun lepas katanya, 13 sekolah lagi dikenal pasti sebagai SBT, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 128 buah.

"Diharapkan, SBT akan terus melahirkan golongan pelajar yang berketrampilan dan menyerlah dalam semua aspek," katanya.

Inisiatif terkandung di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Memastikan Pendidikan Berkualiti.

Dalam ucapannya Perdana Menteri turut berkongsi cerita mengenai adik Nor Izzati Sabrina dari Ipoh Perak, yang berjaya meningkatkan kemahirannya berkomunikasi dan bersosial selepas memasuki SBT di Sekolah Kebangsaan Marian Convent Ipoh.

Perkembangan itu, katanya membuktikan SBT membuka peluang kepada pelajar berbakat sepertinya yang turut mewakili sekolah dalam pertandingan choral speaking.

"Diharapkan lebih ramai pelajar yang sebegini dapat dilahirkan dan syabas serta selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Menerusi inisiatif sama juga lebih RM100 juta disediakan sebagai bantuan yuran kepada hampir 130,000 pelajar prasekolah di institusi swasta dan daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah.

Yuran sekolah berjumlah hampir RM7.5 juta turut diberikan kepada lebih 3,000 kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan kanak-kanak swasta. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X