X
Selasa, 28 April 2015 | 10:41pm
JAGUH bina badan, Sazali Samad dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2014 pada majlis Anugerah Sukan Negara di Hotel Dosett Subang. - Foto Hasriyasyah Sabudin
JAGUH bina badan, Sazali Samad dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2014 pada majlis Anugerah Sukan Negara di Hotel Dosett Subang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Sazali, Nicol dinobat Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2014

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2014 dalam majlis Anugerah Sukan Negara yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang, malam ini.

Ia anugerah kali keempat buat Sazali yang namun lebih cemerlang buat Nicol yang memenanginya anugerah berprestij itu buat kali kesembilan selepas kali pertama memenanginya sejak 1999.

Lebih manis, kejayaan Sazali dan Nicol mengulangi kemenangan sama yang dimenangi tahun lalu selepas kedua-duanya tampil mencipta pelbagai kejayaan tahun lalu tanpa mampu dicabar jaguh sukan negara lain.

Memenanginya buat kali pertama pada 2000, Sazali yang kini berusia 48 tahun dipilih atas kejayaannya memenangi gelaran Mr Universe buat kali ke-10 di Kejohanan Dunia di Mumbai sekali gus mencipta rekod dunia memegang gelaran terbanyak dalam sejarah.

Sazali sebelum ini meraih gelaran berkenaan bermula di Melaka pada tahun 2000, Moscow, Russia (2004), Ostrava, Republik Czech (2006), Jeju, Korea Selatan (2007), Dubai (2009), Varanasi, India (2010), Melaka (2011), Bangkok, Thailand (2012) dan Budaors, Hungary (2013).

Bagi Nicol, 2014 ditamatkan dengan penuh gemilang dengan kejayaan menjuarai Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 menewaskan peserta tuan rumah Mesir, Raneem El Weleily.

Ia kemenangan kelapan buat pemain skuasy wanita nombor satu dunia itu yang turut membantu skuad negara muncul naib juara Kejohanan Skuasy Wanita Berpasukan Dunia.

Kali pertama Nicol memenangi gelaran berkenaan adalah pada 1999 sebelum menambah koleksi seterusnya pada 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Nicol begitupun tidak hadir ke majlis terbabit kerana sedang menyertai kejohanan di luar negara.

Kedua-dua pemenang anugerah utama membawa pulang piala dan hadiah wang tunai bernilai RM20,000 setiap seorang dengan hadiah disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Senarai pemenang Anugerah Sukan Negara 2014

OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN

- Sazali Samad (Bina Badan)

OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN

- Datuk Nicol Ann David (Skuasy)

PASUKAN LELAKI KEBANGSAAN

- Muhammad Faizal Norizan, Ahmad Syukri Abdul Aziz (Pelayaran)

PASUKAN WANITA KEBANGSAAN

- Datuk Nicol Ann David, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold, Zulhijjah Azan, G Venessa Raj (Skuasy)

OLAHRAGAWAN PARALAMPIK KEBANGSAAN

- Allahyarham Mohd Azlan Mat Lazim (Olahraga)

OLAHRAGAWATI PARALIMPIK KEBANGSAAN

- Siti Nooriasah Mohammad Ariffin (Olahraga)

JURULATIH LELAKI KEBANGSAAN

- R Jeganathan (Olahraga)

JURULATIH WANITA KEBANGSAAN

- Tiada Pemenang

ANUGERAH KEPIMPINAN SUKAN

- Datuk Ong Poh Eng (Angkat Berat)

ANUGERAH TOKOH SUKAN

- Tiada Pemenang

ANUGERAH KHAS

- Mohd Afendy Abdullah (Pelayaran)

- Mendiang Peter Rajah (Bola Sepak)

Berita Harian X