Rabu, 29 April 2015 | 12:06am
PENDEDAHAN keterlaluan gajet terhadap kanak-kanak kini boleh memberi implikasi negatif terhadap sikap dan emosi, malah dikatakan pendorong kepada obesiti. - Foto hiasan

Gajet lemahkan imunisasi kanak-kanak


BERMAIN gajet memang menyeronokkan tetapi jika terlalu asyik dan menghabiskan lebih dari 5 jam bermain gajet ia boleh mengundang kepada permasalahan kesihatan. Namun, ramai yang mempertikaikan pandangan ini kerana percaya gajet tidak mendatangkan bahaya.

Hakikatnya, satu kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei 2011, mengklasifikasikan gajet tanpa wayar seperti tablet dan telefon bimbit sebagai risiko ejen kanser disebabkan oleh radiasi yang dihasilkan.

Radiasi ini juga berupaya melemahkan sistem imunisasi kanak-kanak jika mereka terdedah kepada radiasi yang tinggi atau erti kata lain terlalu lama terdedah sedari bayi lagi.

Malah, mereka yang gemar bermain alat permainan video yang dipegang boleh mengundang masalah tulang belakang. Ini kerana mereka berada dalam posisi duduk yang lama tanpa beralih atau membuat senaman ringan dalam jangka masa panjang sehingga boleh mengundang risiko masalah tulang belakang.

Kanak-kanak yang terlalu kerap didedahkan dengan teknologi terutama aplikasi dalam gajet seperti permainan di tablet, telefon bimbit dan komputer juga turut dikaitkan dengan masalah obesiti, penglihatan dan tahap kecergasan.

Ini kerana kanak-kanak terbabit terlalu asyik bermain gajet sehinggakan mereka kurang menjalankan aktiviti di luar rumah atau pergerakan fizikal lain.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata kanak-kanak yang terlalu kerap didedahkan dengan teknologi akan berhadapan masalah obesiti dan penglihatan kerana kurang pergerakan disebabkan banyak bertumpu kepada paparan skrin pada tablet.

Katanya, ia turut menjejaskan daya kecerdasan sehingga mereka mudah lesu dan kurang aktif, sekali gus mendedahkan mereka dengan penyakit kardiovaskular, pernafasan dan diabetes.

Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) pada 2012 juga mendapati kadar obesiti kanak-kanak telah meningkat daripada 6.6 peratus kepada 13.6 peratus dengan faktor utamanya adalah gaya pemakanan dan kurangnya pendedahan aktiviti luar rumah.

Malah, statistik WHO sebelum ini menunjukkan obesiti kanak-kanak berusia 0-5 tahun di seluruh dunia telah meningkat daripada 32 juta pada 1990 kepada 42 juta pada 2013.

Justeru, Dr Zulkifli berkata adalah menjadi satu kewajipan bagi penjaga dan ibu bapa memahami risiko ini serta mematuhi garis panduan penggunaan gajet yang baik terhadap kanak-kanak.

Katanya, walaupun di Malaysia masih belum ada garis panduan khusus dibuat namun Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) telah menetapkan satu kaedah kawalan yang baik untuk dicontohi.

"(Iaitu) bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah, tidak patut untuk mereka didedahkan dengan penggunaan gajet seperti tablet dan telefon bimbit atau diharamkan bermain gajet, selain mengurangkan tontonan televisyen dan internet.

"Bagi mereka yang berusia dua hingga lima tahun, boleh didedahkan iaitu sekitar 30 minit untuk tempoh dua hingga tiga hari sekali, manakala 6 hingga 18 tahun hanya dua jam sehari," katanya ketika dihubungi BH Online.

Apabila obesiti berlaku, pelbagai masalah kesihatan akan mula timbul dalam kalangan kanak-kanak seperti diabetes, masalah pernafasan, jantung dan tekanan darah yang tidak normal.

Bayangkan dalam usia semuda 10 tahun sudah mempunyai masalah pernafasan dan tekanan darah tidak normal, apa yang akan terjadi kepada kanak-kanak ini 30 tahun akan datang.

Begitu juga dengan masalah penglihatan kerana tanpa pemantauan jarak yang sepatutnya antara mata dengan skrin gajet boleh menyebabkan kornea mata menjadi semakin sensitif akibat cahaya yang dikeluarkan gajet.

Kebiasaannya kanak-kanak akan bermain gajet dalam jarak yang dekat, mendedahkan mereka lebih kepada masalah penglihatan atau rabun dan statistik turut menunjukkan penjualan cermin mata di dunia meningkat sehingga 20 peratus pada tahun 2014 berbanding tahun 2010.

Lebih buruk lagi, ketagihan yang tinggi kanak-kanak terhadap gajet juga mampu menjejaskan psikologi mereka dengan peningkatan tindak balas agresif seperti kurang nilai simpati apabila dewasa, yang berpunca daripada bermain permainan video mengandungi unsur ganas.

Sebagai contoh, bila kanak-kanak didedahkan dengan permainan 'perang' atau yang ada unsur pergaduhan, ia akan mempengaruhi sikap dan tingkah lakunya, malah boleh membentuk perilaku negatif seperti tidak takut membunuh atau memukul.


PENDEDAHAN gajet secara keterlaluan terhadap kanak-kanak boleh memberi implikasi negatif terhadap sikap dan emosinya, malah boleh menjejaskan kesihatan mereka. - Foto hiasan

Permasalahan seperti ini turut dikaitkan dengan jangka hayat manusia kini yang lebih singkat sekitar 60 tahun berbanding 80 tahun pada 90an.

Pakar pendidikan awal kanak-kanak, Prof Dr Bustam Kamri berkata, kanak-kanak yang kerap menggunakan peranti elektronik seperti telefon pintar dan komputer turut terdedah kepada peningkatan tahap ketakutan dan kecemasan.

Katanya, peranti dan permainan elektronik seperti itu membantutkan daya kreativiti sehingga menyebabkan mereka lebih cenderung meniru aksi dipaparkan berbanding mencipta sesuatu inovasi baru.

"Tubuh badan mereka tidak bergerak, menjadikan minda tidak cergas. Jadi mereka akan lebih selesa berada di zon kebiasaan mereka berbanding mencuba sesuatu yang baru. Takut untuk keluar dan bergaul dengan rakan sebaya," katanya.

Justeru, katanya, sebaiknya kanak-kanak kecil perlu dijauhkan daripada mengakses teknologi sehingga mencapai usia sekurang-kurangnya lima tahun.

Berita Harian X