Rabu, 29 April 2015 | 6:15pm

Bapa lima anak didakwa edar dadah

ALOR SETAR: Seorang bapa kepada lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dan heroin, 19 April lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Fadzli Ikmal Kamaluddin, 29, didakwa mengedar methamphetamine seberat 81.70 gram dan pertuduhan kedua mengedar heroin seberat 228.56 gram di kawasan tempat letak kereta, Grand Alora Hotel, Persiaran Bandar Baru Mergong, Lebuhraya Sultanah Bahiyah Alor Setar pada jam 12.45 tengah malam, 19 April.

Tertuduh yang bekerja di bahagian pendawaian didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Tuan Mohd Khairul Hafizzuddin Ramli menetapkan 30 Jun, tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuur Hafiedzah Md Daud manakala peguam K T Jaiaraj mewakili Fadzli Ikmal. - BERNAMA

Berita Harian X