Khamis, 30 April 2015 | 5:54pm

368 peserta sertai Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU: Sejumlah 368 peserta, termasuk dari luar negara, mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir 2015 anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada 3 Mei ini.

Penolong Pengurus Promosi dan Pelaburan Ketengah, Ahmad Khamsa Deraman berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 150 peserta adalah dari luar negara manakala selebihnya peserta tempatan.

"Senarai penuh jumlah peserta akan diketahui apabila tarikh pendaftaran penyertaan ditutup esok," katanya, hari ini.

Beliau berkata antara peserta luar negara ialah dari Australia, Denmark, Perancis, Hong Kong, Itali, Jepun, Kenya, Belanda, New Zealand, Norway, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan United Kingdom.

Katanya kejohanan membabitkan acara berenang, berbasikal dan larian yang keseluruhannya sejauh kira-kira 50 kilometer itu menawarkan hadiah wang tunai RM55,000.

Ahmad Khamsa berkata peserta kejohanan tersebut akan dilepaskan kira-kira 7.30 pagi di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir, dan akan melalui Kampung Basung, Kampung Pelong dan berakhir di Pengkalan Gawi.

Beliau berkata kejohanan tahunan itu adalah acara pelancongan sukan kerajaan negeri bagi mempromosikan tempat-tempat pelancongan dan keindahan Tasik Kenyir. - BERNAMA

Berita Harian X