Isnin, 8 September 2014 | 4:30pm

Kumpulan pertama 276 jemaah haji pantai timur berlepas ke Madinah

KUALA TERENGGANU: Kumpulan pertama 276 jemaah haji dari pantai timur berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), hari ini.

Pengarah Operasi Tabung Haji (TH) Terengganu Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata jemaah menaiki pesawat Boeing 777 MH8036 pada 10.55 pagi tadi yang membawa 248 jemaah dari Terengganu, 15 (Kelantan), lapan (Pahang) dan lima (Selangor).

"Penerbangan itu merupakan yang pertama daripada lima penerbangan, lain-lain penerbangan ialah pada 15, 16, 17 dan 18 Sept terus ke Jeddah yang melibatkan keseluruhan 1,395 jemaah dari pantai timur dan majoritinya dari Terengganu.

"Penerbangan ke Jeddah bermula 15 Sept, para jemaah haji akan melapor diri dan berangkat ke sana dengan pakaian ihram," katanya ketika ditemui di LTSM di sini hari ini.

Beliau menasihatkan jemaah haji supaya memastikan dokumen penting seperti buku rekod kesihatan, surat jadual penerbangan haji dan rantai tangan pengenalan diri dibawa semasa melapor diri.

"Dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu serta bekalan makanan tidak perlu dibawa kerana dibimbangi tercicir dan sebagainya," kata Mohammad Mokhzani.

Bagi Tengku Anuar Tengku Dalam, 62, berkata beliau pernah menerima tawaran untuk menunaikan haji pada 2005 dan 2006, namun ketika itu beliau sangat uzur kerana menghidap kencing manis.

"Saya bersyukur kerana tahun ini saya terpilih dan saya tidak menolaknya walaupun keadaan fizikal saya kurang cergas...semua itu saya serahkan kepada Allah," katanya dan turut berangkat bersama beliau isterinya, Rakiah Kadir, 58. - BERNAMA

Berita Harian X