Sabtu, 2 Mei 2015 | 8:04am

Awasi provokasi kaum, agama

Bila Kunta Kinte baca berita tunjuk perasaan penduduk Taman Medan terhadap pembukaan sebuah gereja kedai di kawasan majoriti Islam itu, Kunta Kinte teringat kepada dua perkara. Satu pergaduhan Melayu-India di sekitar kawasan yang sama pada tahun 2001 dan kaedah pembangunan yang dipanggil in-situ development atau pembangunan setempat.

Kejadian yang disebut Peristiwa Kampung Medan itu berlaku antara 4 sampai 8 Mac dan babitkan beberapa kampung lain macam Kampung Gandhi, Kampung Lindungan, Kampung Datuk Harun, Taman Desa Ria dan hujung Jalan Klang Lama arah Subang. Ada laporan kata, tiga orang mati dan ramai cedera.

Boleh kata semua kampung yang terbabit asal usulnya kawasan setinggan Melayu-India dan banyak ciri setinggan masih kekal, khususnya kemiskinan dan kurang ketamadunan. Masa ia berlaku, Kunta Kinte bagi amaran yang peristiwa macam itu akan berulang kalau pembaikan ekonomi dan sosial tak dibuat.

Pembangunan in-situ

Berkenaan pembangunan in-situ, ia adalah sebahagian daripada falsafah Rancangan Luar Bandar yang kemudiannya diperluas di bawah Dasar Ekonomi Baru. Pembangunan in-situ ertinya pembangunan disediakan di mana ia diperlukan. Kalau sebuah kampung perlukan sekolah, klinik kesihatan dan balai polis, maka sekolah, klinik kesihatan dan balai polis didirikan.

Ini berbeza dengan sebelum itu bila penduduk kampung yang tak ada sekolah, klinik kesihatan dan balai polis terpaksa pergi ke tempat yang ada sekolah, klinik kesihatan dan balai polis untuk penuhi hajat mereka.

Dalam proses itu mereka belajar mengenai apa yang ada di tempat lain yang tak ada di tempat mereka. Jadi macam kata pepatah, dengan perjalanan yang jauh itu, pemandangan mereka jadi lebih luas. Sebab itulah Allah Taala perintah kita kerjakan solat dan kemudian bertaburan di muka bumi cari kejayaan.

Kunta Kinte nak bagi satu contoh yang Kunta Kinte alami bila keluar dari kampung untuk bersekolah pada tahun 1954. Perjalanan dari kampung Kunta Kinte ke Sekolah Melayu Pendang guna jalan tanah merah yang berdebu pada musim kemarau dan berlumpur pada musim hujan. Jadi kita kena tahu macam mana nak tunggang basikal dengan selamat dalam debu dan dalam lumpur.

Bila lintas kampung orang Cina, kita kena tahu macam mana nak elak disalak, dihambat dan digigit anjing. Di kampung orang Siam pula, kita belajar elak babi yang berkeliaran. Anjing kalau ia tak kenal kita, ia akan salak. Kalau kita lari ia kejar. Tapi kalau kita tak tunjuk takut, ia akan takut kepada kita. Kita tunduk pura-pura ambil batu atau kayu, ia akan berhenti. Kalau kita baling ia cabut.

Salah satu kepakaran Kunta Kinte dan kawan-kawan yang lalu kawasan Cina dalam perjalanan pergi balik sekolah ialah tendang anjing sambil berbasikal. Anjing sekali kena tendang ia tak akan salak atau kejar kita lagi. Ia tahu siapa bos!

Jadi bila kita dewasa, kita tak takut anjing atau hilang akal nak peluk dan cium anjing bila ada orang buat pameran peluk anjing. Selepas pekan Cina dan sebelum sampai sekolah ada jirat. Kawasan kubur Cina luas. Kita kena belajar kawal perasaan takut apabila melintasinya.

Ada juga kawan-kawan seusia dengan Kunta Kinte yang tak berjaya kuasai rasa takut kepada anjing dan jirat Cina sampai sanggup ambil jalan jauh ke sekolah atau terpaksa ditemani ibu bapa. Jadi, lebih kurang macam itu jugalah tindak balas sebahagian penduduk Taman Medan bila mereka tengok sebuah kedai di kawasan mereka dijadikan gereja dengan lambang salib yang besar.

Walaupun mereka mungkin sudah tengok gereja dan salib di tempat lain, bila mereka nampak gereja dan salib di tempat mereka, perasaan dan tindak balas mereka berlainan. Jadi sebelum kita kutuk atau pertahan sesiapa dalam peristiwa ini atau mana-mana juga peristiwa bersabit agama, kaum, bahasa dan budaya, eloklah kita dalami dan fahami asal usul serta pokok pangkalnya. Perbuatan memihak, mengutuk dan mengecam akan burukkan lagi pertelingkahan.

Akui kesilapan

Mula-mula sekali kita kena akui kesilapan dan kekurangan kita sendiri. Ramai rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita hidup terpisah kerana dasar pembangunan in-situ dan pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan yang tidak menyeluruh.

Dasar pendidikan kebangsaan yang sepatutnya jadi asas perpaduan dan integrasi nasional tak terlaksana akibat tekanan politik dan sikap orang Melayu sendiri yang terlalu tolak ansur. Ini ditambah pula oleh jurang ekonomi yang makin luas antara kaum. Kita pun tak boleh sapu bawah tikar atau buat-buat tak tahu bahawa hasutan politik perkauman dan agama masih berterusan, malah tambah teruk.

Kunta Kinte akui kita tak boleh sekat sesiapa pun amal agama dan kepercayaan masing-masing. Yang buat dengan ikhlas, ikut peraturan dan sensitif kepada orang keliling tak bahaya. Yang Kunta Kinte bimbang adalah kejahilan mengenai sensitiviti kaum dan undang-undang. Lagi teruk kalau sengaja dibuat dengan tujuan tunjuk kuat, tuntut hak atau cetuskan tindak balas.

Kita kena ingat, perbuatan macam ini boleh berubah jadi provokasi yang berbahaya. Jadi, Kunta Kinte haraplah dalam hal agama dan kepercayaan ini kita kena belajar betul-betul dan jangan sekali-kali main teka-teka, uji-uji dan usik-usik. Undang-undang bukan saja mesti tegas tapi nampak tegas supaya orang ramai percaya dan mereka tak buat sesuka hati. Kita wajib tegas bila ketegasan boleh selamatkan nyawa dan harta benda. Wallahuaklam.

E-mel ke [email protected] untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X