Isnin, 8 September 2014 | 9:29pm

Iskandar Samad nafi dipanggil menghadap Sultan Selangor

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad hari ini menafikan khabar-khabar angin kononnya beliau dipanggil untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pencalonan bagi jawatan Menteri Besar.

Katanya, buat masa ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh mana-mana pihak termasuk pihak istana Selangor.

"Tiada (tidak diminta untuk menghadap)...esok tak ada, lusa tak ada, minggu depan pun tak ada," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sebuah portal berita hari ini mendakwa tiga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada PAS dipanggil untuk menghadap Sultan Selangor dengan menamakan mereka sebagai Iskandar, Sallehen Mukhyi dan Ahmad Yunus Hairi.

Ketiga-tiga Anggota Exco itu didakwa dipanggil menghadap berikutan nama mereka disenaraikan sebagai calon Menteri Besar yang baharu oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menggantikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR selepas beliau enggan mengikut keputusan parti dan Pakatan Rakyat untuk berundur bagi membuka jalan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan ketua eksekutif negeri.

Khamis lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan Abdul Hadi telah menghantar tiga nama kepada istana untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri besar.

Mustafa berkata ketiga-tiga nama itu dihantar bagi menghormati titah Sultan Selangor yang meminta supaya semua parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X