Selasa, 9 September 2014 | 5:52am

Keluar, tubuh parti baharu tak atasi kemelut politik

Kemunculan parti-parti politik serpihan apabila berlaku perbalahan dalam kalangan pemimpin pada peringkat pertubuhan induk sehingga ada yang dipecat atau meninggalkan parti, bukan perkara baharu.

Sejarah politik di negara ini menyaksikan puluhan parti politik muncul akibat pemimpin sesebuah parti yang sudah lama bertapak berselisih pendapat berhubung dasar, pendirian dan tindakan pucuk pimpinan.

Sementara ada parti serpihan bertahan lama dan memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi negara seperti PAS (serpihan UMNO) dan GERAKAN (serpihan MCA), banyak yang berkubur tanpa nesan selepas hanya sepenggal dua pilihan raya umum.

Justeru, laporan mengenai penubuhan Parti Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) didaftarkan pada 11 Ogos lalu, dengan beberapa pemimpin kanan PAS yang dianggap pro-Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa, tidaklah mengejutkan.

Bercanggah dasar penubuhan PAS

Sejak PAS menjadi sekutu PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang, wujud sekumpulan pemimpin parti itu yang lebih cenderung menyuarakan dasar liberal dokongan dua sekutu mereka, sehingga dilihat bercanggah dengan dasar penubuhan dan perjuangan PAS sendiri.

Untuk seketika, pengaruh kumpulan ini, yang selepas pemilihan parti lalu menguasai barisan jawatankuasa Pusat PAS, membayangi kuasa Presiden dan Majlis Syura, badan pembuat keputusan tertinggi parti. Perselisihan pimpinan PAS mengenai pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor, adalah contoh terbaharu.

Kerana itu, ramai melihat kemunculan PASMA adalah kemuncak kegagalan 'Langkah Kajang' Anwar untuk meletakkan dirinya, kemudian isterinya, sebagai menteri besar tanpa merujuk kepada PAS dan DAP pada peringkat awal.

Walaupun PKR dan DAP bersetuju untuk hanya mengemukakan nama Dr Wan Azizah ke Istana Selangor, PAS bertegas mencalonkan tiga nama tersendiri, yang dipercayai tiada nama Presiden PKR itu.

Menambahkan lagi kemarahan PKR dan pemimpin golongan pro-Anwar dalam PAS, Datuk Seri Hadi Awang kelmarin bukan saja berkata, Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar, malah mengalu-alukan sesiapa dari parti itu, yang tidak bersetuju dengan pendirian PAS, menubuhkan parti baharu.

"Penubuhan parti baharu, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen, siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh. Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," katanya.

Kenyataan Hadi itu, walaupun dilihat angkuh oleh penyokong DAP dan PKR seperti dibaca dalam ruangan komen media sosial, pastinya mengambil kira pelbagai sudut termasuk pendirian sebahagian besar ahli parti, yang sejak awal lagi kurang senang terhadap kerjasama PAS dengan kedua-dua parti itu.

Dua kali alami krisis kepemimpinan

Lagipun PAS pernah dua kali mengalami krisis kepemimpinan yang menyebabkan penubuhan dua parti serpihan, iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) tetapi terus utuh sebagai parti pembangkang utama.

BERJASA diasaskan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamed Nasir, pada tahun 1977 selepas beliau dipecat oleh PAS ketika itu ekoran krisis dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang turut disertai PAS pada tahun 1978 tetapi pengaruhnya semakin merosot selepas itu.

Ia menyertai Angkatan Perpaduan Ummah naungan Parti Melayu Semangat 46 pada 1989 sehinggalah gabungan itu dibubarkan pada 1996 apabila Tengku Razaleigh Hamzah menyertai semula UMNO.

HAMIM pula ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh bekas Presiden PAS, Tan Sri Asri Muda, yang meninggalkan parti pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1982.

Arus kebangkitan Islam ketika itu menyaksikan golongan ulama termasuk Hadi, mengambil alih kepemimpinan PAS Pusat. Asri menubuhkan HAMIM sebagai alternatif kepada PAS dan menyertai BN sehingga meninggalkannya pada tahun 1989 untuk menyertai APU sebelum beliau sendiri, kemudiannya menyertai UMNO.

Kumpulan pemimpin PAS yang terbabit dalam penubuhan PASMA pasti sudah mengkaji sejarah kemunculan dan kepupusan parti-parti serpihan ini walaupun masa depannya mungkin berbeza dengan peranan media baharu dalam politik tanah air sekarang.

Begitupun kumpulan ini, jika benar-benar percayakan dasar perjuangan DAP dan PKR, mempunyai satu lagi pilihan iaitu meninggalkan PAS untuk menyertai salah satu parti itu.

E-mel ke [email protected] untuk berkongsi pendapat anda

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X