Selasa, 9 September 2014 | 10:49am
MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tersenyum ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media mengenai krisis politik Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tersenyum ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media mengenai krisis politik Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Cukup-cukuplah PKR!

KEMELUT jawatan Menteri Besar Selangor terus meleret dan membosankan.

Jika sebelum ini, episod persengketaan jawatan itu hanya bertumpu kepada keengganan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur, namun rentaknya kini sudah berubah.

Watak Abdul Khalid tidak lagi dilihat penting bagi ramai pihak, apatah lagi beliau sendiri sudah menyembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk meletak jawatan Menteri Besar.

Cuma, fasa baharu kemelut kini mula berfokus kepada kedegilan PKR yang tetap berkeras mahukan presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.

Biarpun Istana sudah memberi isyarat 'menolak' pencalonan Wan Azizah terutama selepas baginda Tuanku menitahkan setiap parti pakatan mengemukakan lebih dua nama untuk diperkenan, namun PKR tetap dengan pendiriannya.

PKR seakan begitu sukar untuk menuruti titah baginda Tuanku, malah memberi alasan kononnya persetujuan daripada 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada Pakatan Rakyat sudah memadai untuk Wan Azizah menggantikan Abdul Khalid.

Pemimpin mereka seperti terlupa atau buat-buat lupa bahawa Perlembagaan Negeri Selangor 1959 seperti yang termaktub di bawah Artikel LI (1), LII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) menyatakan dengan jelas bahawa Sultan Selangor diberi kuasa budi bicara mutlak untuk melantik seorang Menteri Besar bagi kerajaan negeri itu.

Sesungguhnya, jika diteliti sikap PKR ini, benarlah apa yang diperkatakan Abdul Khalid dan bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Hussin dua minggu lalu bahawa kedegilan dan kegagalan PKR menentukan calon terbaik mengisi jawatan itu menjadi punca kepada sengketa yang berlarutan sehingga kini.

Ini bermakna tindakan Abdul Khalid yang 'enggan' melepaskan jawatan pada mula krisis ini timbul, dibuat berdasarkan pertimbangan beliau supaya pentadbiran negeri itu terus berjalan teratur dan lancar seperti biasa.

PAS pula sehingga tahap ini masih mengambil pendirian selamat. Perkembangan dan tindakan terbaharu presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang secara terang menolak pencalonan Wan Azizah seperti sudah dijangka ramai pihak.

Bezanya di sini, pendirian segelintir pimpinan PAS Pusat yang masih 'condong' kepada Anwar, berjaya mempengaruhi keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu sebelum ini untuk meletakkan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar.

Cuma selepas baginda Tuanku menitahkan setiap parti pakatan mengemukakan lebih dua nama, baru nampak dengan jelas siapa yang mahukan Wan Azizah, siapa pula yang menolaknya.

Pendirian Majlis Syura Ulama PAS termasuk Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak awal konsisten mempersoalkan kewibawaan Wan Azizah untuk mengetuai pentadbiran negeri termaju di Malaysia itu.

Malah kelmarin, nada sama disuarakan timbalannya, Datuk Dr Haron Din bahawa penolakan Wan Azizah dibuat bukan kerana jantinanya, tetapi disebabkan rasa sangsi akan kemampuan beliau memikul amanah berat sebagai ketua kerajaan negeri.

Dari sudut demokrasi, apa yang dilakukan Abdul Hadi itu bukan isu berbangkit untuk dijadikan bahan polemik dan kritikan ahli serta rakan sekutunya, sebaliknya perlu dilihat sebagai menuruti titah Tuanku.

Secara peribadinya juga, tindakan dan arahan Abdul Hadi berkaitan isu jawatan Menteri Besar Selangor adalah dibuat berdasarkan kuasa prerogatif presiden itu yang diperuntukkan mengikut Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS, Pindaan (2011).

Barangkali juga, perbezaan senarai nama calon Menteri Besar terdahulu dan yang terkini seperti dikemukakan Presiden PAS itu kepada Istana dibuat selepas mengambil kira penilaian rambang mengenai karektor, integriti serta kebarangkalian seorang calon itu boleh diperkenan Sultan Selangor.

Justeru, sekarang, terserahlah kepada Sultan Selangor untuk membuat penilaian serta keputusan atas pertimbangan serta kebijaksanaan baginda Tuanku sendiri.

Pemimpin serta ahli PAS, PKR serta DAP tidak perlu terus bersengketa, tunggu sajalah perkenan dan akur apa saja keputusan yang akan dibuat Istana.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X