Selasa, 9 September 2014 | 1:10pm
SEBAHAGIAN daripada wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor pada Himpunan Rakyat Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di hadapan Masjid Diraja Sultan Suleiman di Klang semalam. Kumpulan itu menunjukkan tanda sokongan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung isu Menteri Besar Selangor yang kian meruncing. - Foto BERNAMA
SEBAHAGIAN daripada wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor pada Himpunan Rakyat Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di hadapan Masjid Diraja Sultan Suleiman di Klang semalam. Kumpulan itu menunjukkan tanda sokongan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung isu Menteri Besar Selangor yang kian meruncing. - Foto BERNAMA

DAP mohon ampun kepada Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: DAP memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kerana menyebabkan baginda berasa dukacita terhadap keputusan parti itu mengemukakan hanya nama Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata DAP akan berunding dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung titah Sultan Selangor berhubung soal calon Menteri Besar Selangor itu.

"Bagi pihak DAP, saya ingin memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan kerana telah menyebabkan Tuanku berasa dukacita terhadap keputusan parti DAP mengemukakan nama ADUN Kajang, YB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai calon YAB Menteri Besar Selangor yang baru.

"Keputusan DAP mengemukakan nama YB Datuk Seri Wan Azizah sahaja ini kepada DYMM Tuanku telah dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013, serta sokongan bertulis daripada majoriti 30 daripada 56 ADUN Selangor kepada YB Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor, dan kata sepakat Pakatan Rakyat bahawa calon Menteri Besar Selangor adalah daripada PKR.

"DAP mengulangi kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan Selangor yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku," katanyai.

Semalam, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada parti masing-masing untuk dipertimbang dan diperkenankan sebagai Menteri Besar yang baharu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi Raja dan perbuatan derhaka kepada titah baginda.

Hanya PAS mematuhi titah baginda dan mengemukakan tiga nama, dipercayai ADUN parti itu.

Krisis tercetus apabila PKR sebelum ini mengarahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Wan Azizah. Apabila Khalid enggan, beliau dipecat daripada PKR.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X