Ahad, 3 Mei 2015 | 8:47am

Putera William-Kate tampil bersama bayi baru lahir


PUTERA William dan isterinya Kate Middleton, bersama bayi perempuan di Lindo Wing Hospital St Mary, London. - Foto REUTERS

LONDON: Putera William dan isteri, Kate Middleton hari ini dilihat keluar dari hospital di London bersama bayi perempuan yang baharu lahir.

Kate melahirkan anak kedua pasangan diraja Britain itu yang namanya masih belum diumumkan, pada awal pagi semalam di Hospital St Mary.

Bayi berkenaan adalah pewaris keempat dalam keluarga diraja Britain dan juga cucu kelima kepada Ratu Elizabeth II yang kini berusia 89 tahun.

Orang ramai yang menunggu di luar hospital itu menyambut gembira apabila pasangan itu melangkah keluar sambil menunjukkan puteri mereka serta melambaikan tangan ke arah kumpulan jurugambar.

Kate berkahwin dengan William pada April 2011 dan melahirkan bayi sulung mereka, Putera George, di hospital sama pada Julai 2013.

Bayi kedua William dan Kate itu dilahirkan seberat 3.7 kilogram, demikian menurut pegawai istana.

Spekulasi sebelum ini berkisar apakah nama yang bakal dipilih oleh pasangan diraja itu untuk puteri baharu mereka dan antara nama pilihan ialah Alice dan Charlotte, selain Elizabeth, Victoria dan Diana - semua nama berkenaan mempunyai hubungan kuat dengan istana. - AFP

250 dibaca
Berita Harian X