Ahad, 3 Mei 2015 | 5:27pm

Kesan lebam, patah tulang pada mayat bayi - Polis

ALOR SETAR: Hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan patah pada badan bayi lelaki berusia lapan bulan yang meninggal dunia petang semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata, laporan forensik mendapati kesan lebam pada bahagian kepala, muka, lengan, kaki dan belakang badan.

"Terdapat juga kesan patah pada tulang selangka kiri dan tulang lengan selain jangkitan kuman pada selaput otak dan otak bengkak

"Kecederaan yang dialami bayi itu dipercayai akibat kontek dengan benda tumpul sama ada disebabkan hentakan kecil atau terjatuh. Punca kematian sebenar masih disiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nashir berkata polis telah menahan suspek yang juga ibu bapa angkat kepada bayi tersebut dan ditahan direman bermula hari ini hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam pada Jumaat (1 Mei) Jabatan Kecemasan Hospital Jitra menerima kes seorang bayi berusia lapan bulan yang tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke HSB dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.04 petang semalam. -BERNAMA

Berita Harian X