Selasa, 5 Mei 2015 | 1:53pm

Fathia Latiff enggan ulas kenyataan kekasih


FATHIA enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan yang dibuat oleh kekasihnya, Aiman Hakim Redza. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Fathia Latiff enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan yang dibuat oleh kekasihnya, Aiman Hakim Redza berhubung hala tuju hubungan cinta mereka yang disemai selama dua tahun itu.

Gadis berusia 27 tahun itu memilih untuk mendiamkan diri kerana berpendapat bahawa tidak manis untuk pihak perempuan membuat sebarang kenyataan lanjut sebaliknya menyerahkan segala-galanya pada Aiman.

"Saya rasa tidak manis untuk membuka mulut mengulas lanjut perkara ini kerana berpendapat lebih baik hal ini diserahkan kepada pihak lelaki untuk membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya.

"Tidak dinafikan saya gembira apabila dikhabarkan mengenai perkara ini. Terkejut juga kerana secara tiba-tiba timbul cerita ini kerana beliau tidak pula memberitahu saya berhubung sebarang kenyataan yang dibuat olehnya," kata Fathia kepada BH Online.

Terdahulu, Aiman menerusi sebuah laporan mengeluarkan kenyataan berkenaan hasratnya untuk mengikat tali pertunangan dan menikahi Fathia dalam masa terdekat namun belum menetapkan sebarang tarikh lagi.

Manakala berita kisah putus cinta pasangan selebriti ini kecoh di dada-dada akhbar sekitar Februari lalu namun kembali bertaut kasih tidak lama selepas itu.

Dalam perkembangan terbaru, Fathia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk drama bersiri berjudul Dia Isteri Luar Biasa yang turut menampilkan Shukri Yahaya sebagai teraju utama.

512 dibaca
Berita Harian X