Rabu, 6 Mei 2015 | 11:17am
SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan memberi tabik hormat semasa memeriksa kawalan kehormat sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah hari ini. - foto BERNAMA

Istiadat pertabalan Sultan Nazrin bermula

KUALA KANGSAR: Istiadat Tabal Adat Pertabalan Sultan Perak ke-35 bermula dengan perarakan masuk jejawat membawa masuk lembing dan payung kerajaan ke dalam Balairong Seri Istana Iskandariah pagi ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berangkat masuk ke Balairong Seri Istana Iskandariah dengan diiringi paluan nobat.

Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja mengadap Sultan Nazrin untuk memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat disusuli bacaan ayat al-Quran oleh bekas Johan tilawah al-Quran kebangsaan, Radzi Kamarul Hailan.

Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan menatang naskhah kitab suci al-Quran untuk diserahkan kepada Sultan Nazrin yang kemudian mengucupnya dan diletakkan di tempat terhormat.

Berita Harian X