Rabu, 6 Mei 2015 | 11:54am

Sultan Nazrin dimasyhurkan Sultan Perak ke-35

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli memeriksa kawalan kehormat sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 di Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah secara rasmi dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 selepas ditabalkan dalam Istiadat Tabal Adat Kesultanan Perak di Istana Iskandariah di sini pagi ini.

Majlis istiadat pertabalan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen bermula dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan menatang naskhah kitab suci itu untuk diserahkan kepada Sultan Nazrin.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin kemudian membacakan pemasyhuran Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak pada jam 11.30 pagi.

Zahidi kemudian menyeru Daulat Tuanku sebanyak tiga kali dan disambut tetamu yang hadir.

Serentak itu, nobat dibunyikan dan tembakan meriam 21 das dilepaskan.

TOH Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik meletakkan Cap Halilintar ke telinga sebelah kanan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultan' sebagai tanda rasmi pertabalan raja pemerintah yang baharu pada Istiadat Pertabalan Adat di Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA

Kemudian, Zahidi menyerahkan Pedang Cura Si Manja Kini untuk dikucup Sultan Nazrin.

Selepas itu, Toh Nara Diraja menyerahkan Mastika Embun dan menyunting Chap Halilintar ke tengkolok Sultan Nazrin sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani'.

Selepas itu, Mohd Zahidi melakukan istiadat pemasyhuran Tuanku Zara sebagai Raja Permaisuri Perak dengan laungan `Daulat' sebanyak tiga kali diikuti tetamu yang hadir dan diikuti bunyian nobat.

Sebaik acara itu selesai, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa menyampaikan ucapan sembah taat setia bagi pihak kerabat diraja diikuti sembah taat setia daripada rakyat jelata yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan disusuli dengan titah Sultan Nazrin.

Berita Harian X