Rabu, 10 September 2014 | 5:59am
MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, menjatuhkan hukuman 1 tahun penjara keatas Chow Mun Fai 37 diatas pertuduhan menggunakan applikasi Facebook untuk tujuan menghasut. - Foto Yazit Razali

Penyelia dipenjara komen hina Islam

Kuala Lumpur: "Hukuman ini bukan saja sebagai pengajaran terhadap tertuduh, tetapi peringatan kepada orang ramai. 

"Orang ramai diingatkan supaya tidak menyiarkan kata-kata bersifat jelik yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain sehingga membawa kepada runtuhnya keharmonian dalam kalangan masyarakat ini," kata Hakim Azman Mustapha, sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas penyelia tapak pembinaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Chow Mun Fai, 37,  dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan aplikasi Facebook untuk menghantar komen dengan niat menyakitkan hati umat Islam mengenai sambutan Aidilfitri, Jun lalu.

Menangis teresak-esak

Terdahulu, sebaik mendengar pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim, Mun Fai yang hadir ke mahkamah, berbaju kemeja-T merah jambu dan seluar biru, dilihat menangis teresak-esak. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dituduh menggunakan aplikasi Facebook dan menghantar komen yang jelik termasuk 'Selamat menyambut hari syaitan Aidilfitri pada 28 Julai 2014'.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC), Sentul Park, di sini, jam 10.30 pagi, pada 12 Jun lalu.

Mun Fai didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Ridza Mohd Noh yang mewakili Mun Fai, memohon supaya hukuman yang dikenakan terhadap anak guamnya dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menjaga kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur.

Mohon hukuman maksimum

Ahmad Ridza, turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sudah insaf dan ingin memohon maaf terhadap perbuatannya.

Rayuan itu dibantah oleh Suhaimi yang memohon hukuman maksimum dan berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh bagi memberi isyarat jelas kepada pengguna media sosial.

Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman berkenaan.

Berita Harian X