Khamis, 7 Mei 2015 | 11:24pm

Istiadat Tabal Pusaka, Siram Tabal sempurnakan pemasyhuran Sultan Perak


SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim ketika upacara 'Adat Bersiram Tabal' di puncak Panca Persada sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, malam ini.
- Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 diteruskan dengan penyempurnaan Istiadat Tabal Pusaka, yang diadakan secara tertutup di Balairong Seri Istana Iskandariah, sebentar tadi.

Sebaik Istiadat Tabal Pusaka disempurnakan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, diarak bagi menyempurnakan Istiadat Siram Tabal di Panca Persada di pekarangan istana bermula jam 10.37 malam.

Istiadat Siram Tabal dikendalikan Toh Seri Nira Diraja, Mohamed Sah Nong Chik dari awal hingga akhir ke atas perkakas istiadat. Kain putih direntangkan dan daun nyior muda berbentuk jari lipan ditaruhkan ke atas kain putih yang dipegang dan diregang toh puan di setiap penjuru.

Ia dimulakan dengan mengambil geluk berisi air dan dicurahkan ke atas kain putih sehingga habis enam belas geluk berisi air.

Nobat dipalu sepanjang istiadat berlangsung dan selepas selesai kira-kira jam 10.45 malam, baginda berdua menyalin pakaian dan berangkat turun dari panca persada berselimut kain benang emas kekuningan dan diarak balik ke istana.

Istiadat kemudian diteruskan dengan Majlis Santapan Nasi Berastakona, yang diadakan di Balairong Seri istana.

Berita Harian X